PILIHAN RAYA Negeri Sabah (PRN) ke-17 pada 2025, berpotensi menjadi pembuka jalan kepada rakyat Malaysia di Sabah untuk melakukan perubahan, menentukan halatuju politik yang memberi impak positif ke atas perpaduan rakyat dan kestabilan politik di Sabah.
Perubahan ini sangat penting, sangat perlu dan wajar dilihat sebagai suatu ruang dan peluang terbaik untuk menamatkan ketidak-tentuan suasana politik di Sabah, yang sangat merugikan rakyat dan negeri Sabah selama ini.
Melakukan perubahan memang mencabar, tetapi melihat kepada suasana politik Sabah yang masih tidak menentu, maka perubahan adalah satu-satunya pilihan yang tepat dan paling waras dilakukan oleh rakyat Sabah.
Walau apa sekalipun, melakukan perubahan politik di Sabah, tidak sama sekali bermaksud hendak “memerangi atau menyingkirkan” mana-mana parti-parti politik yang bertapak di negeri ini, terutama sekali parti-parti politik yang berasaskan nasional.
Sebaliknya, matlamat dan niat untuk melakukan perubahan itu lebih sesuai dilihat sebagai suatu tanggungjawab bagi rakyat Sabah, demi kepentingan perpaduan dan kestabilan politik, atau lebih tepat lagi, supaya rakyat Sabah dapat hidup dengan impian sendiri – to live own dream.
Untuk hidup dengan impian sendiri, rakyat Sabah perlu berani membuat pelaburan menerusi visi dan hala tuju politik baharu, yang boleh mengeluarkan rakyat Sabah daripada kekangan dan batasan ekosistem politik yang menyebabkan Sabah jauh ketinggalan dari segi kemajuan dan pembangunan sosioekonomi, berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia, khususnya Sarawak.
Selama ini, kita mungkin mempunyai alasan-alasan yang mudah untuk merasa megah atau berpuashati dengan watak dan sepak terajang politik Sabah yang dikatakan sangat dinamik dan unik.
Namun, hakikatnya tidaklah begitu, kerana rakyat Sabah, sampai sekarang, sebenarnya masih tercari-cari resipi dan kematangan berpolitik, yang benar-benar menguntungkan dan memanfaatkan rakyat dan negeri Sabah dalam erti kata sebenar.
Perpecahan adalah resipi ketidakstabilan politik, dan kita boleh perhatikan bagaimana politicking telah menyempitkan ruang bagi rakyat Sabah untuk bergerak maju dan menerokai peluang-peluang untuk memajukan diri dan negeri.
PENGAJARAN SEPANJANG 60 TAHUN
Sejarah dan kisah suka-duka politik Sabah sepatutnya sudah cukup memberi pengajaran kepada rakyat Sabah.
Dan yang paling memberi pengajaran ialah episod penggiliran Ketua Menteri, juga gara-gara pertelagahan politik di Sabah yang tiada kesudahan pada ketika itu.
Sistem penggiliran Ketua Menteri yang diperkenalkan pada tahun 1994 menyaksikan tujuh pemimpin politik Sabah yang mewakili berbagai parti, bergilir-gilir menyandang jawatan Ketua Menteri, sehinggalah sistem itu dimansuhkan pada 27 Mac 2004.
Selepas itu, rakyat Sabah bereksperimentasi pula dengan politik “fixed deposit”, suatu situasi dimana sebilangan besar rakyat Sabah kurang mengutamakan parti-parti politik tempatan, sebaliknya merasa selesa berteduh di bawah parti politik berasaskan nasional.
Sikap itu samalah seperti memilih untuk hidup dengan impian orang lain – to live others’ dream.
Dikatakan begitu kerana parti politik berasaskan nasional yang mendapat faedah besar daripada politik “fixed deposit” itu sebenarnya bergantung penuh kepada sokongan rakyat Sabah.
Ternyata, naratif “fixed deposit” tidak memberi kesan dan sumbangan besar dalam menyelesaikan masalah politik Sabah.
Justeru, PRN17 adalah peluang paling baik bagi rakyat Sabah untuk membuat keputusan sama ada mahu “hidup dengan impian sendiri” ataupun “hidup dengan impian orang lain” – to live own dream or to live others’ dream.
HIDUP DENGAN IMPIAN SENDIRI MELALUI GRS
Rakyat Sabah mampu menyelesaikan kemelut politik di negeri ini melalui PRN17 dengan memberi peluang kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), parti politik tempatan, untuk meneruskan pemerintahan negeri.
Sokongan kepada GRS sangat besar ertinya:
Pertama, dapat membina dan menguatkan entiti lokal – local entity.
Kedua, kekuatan perpaduan rakyat Sabah menerusi parti tempatan akan mewujudkan kuasa tawar menawar semulajadi – natural bargaining power. Kuasa rakyat Sabah, dari rakyat Sabah dan untuk rakyat Sabah.
Maknanya, pemimpin dan rakyat Sabah akan dapat memainkan peranan yang lebih besar dan lebih luas dalam menjaga hal-ehwal negeri serta melindungi hak-hak dan kepentingan rakyat dan negeri, dan pada waktu yang sama berdiri teguh dalam memelihara dan mempertahankan sistem Persekutuan dan semangat Malaysia.
Yang ketiga, kekuatan perpaduan yang dibina melalui sokongan ke atas parti-parti politik tempatan akan memberi peluang kepada parti-parti politik tempatan untuk berfungsi sebagai pembuat keputusan dasar tertinggi , kecuali perkara-perkara yang membabitkan dasar Kerajaan Persekutuan.
Dalam GRS, setiap etnik di Sabah diwakili dan mewakili parti-parti politik yang berada dalam gabungan , iaitu Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidarity Tanah Airku (STAR), Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS).
Kesimpulannya, GRS sebagai gabungan parti-parti politik tempatan yang mewakili masyarakat pelbagai kaum dan etnik di Sabah lebih wajar dan sangat layak diberikan peluang untuk mentadbir-urus negeri Sabah dan untuk membuktikan bahawa kestabilan politik di negeri Sabah boleh dicapai melalui solidariti perpaduan rakyat menerusi parti politik tempatan.
Peluang untuk membuat perubahan sentiasa ada, melalui proses demokrasi dan melalui pilihanraya-pilihanraya akan datang.
Tetapi PRN 17 sangat penting kerana inilah pilihanraya yang boleh dimanfaatkan untuk menamatkan kemelut politik Sabah.
Jangan biarkan PRN17 berlalu begitu sahaja tanpa meninggalkan sesuatu kenangan yang paling indah dan paling bermakna bagi rakyat dan negeri Sabah.
Tiada yang lebih berharga dan lebih bermakna untuk rakyat Sabah pada masa ini selain melihat kembalinya perpaduan dan kebersatuan rakyat yang pastinya akan menghadiahkan kestabilan politik di Sabah, dan ia tidak merugikan Malaysia. (Penulis adalah wartawan veteran Sabah).
— Emin Madi
Add Comment