KOTA KINABALU:Pencapaian dalam urus tadbir dan pembangunan negeri Sabah sejak pemerintahan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor wajar untuk dilihat dari sudut positif dan pencapaian yang sudah dicapai oleh negeri Sabah khasnya dari sudut pembangunan ekonomi harus dibanggakan.
Ketua Penerangan Wanita Gagasan Rakyat, Annabell Perian berkata usaha urus tadbir kerajaan negeri kini dilihat berfokus dan bermatlamat ke arah membawa perubahan.
“Kita lihat perbezaan dulu dan sekarang, kita nilai sendiri dan teliti dari sudut positif untuk setiap perubahan positif yang dibawa dan dirancang.
“Usaha untuk membawa perubahan dan pembangunan adalah satu usaha bersama yang memerlukan perancangan teliti, berserta dana yang amat besar kerana kita mempunyai banyak hal yang perlu diselesaikan, khasnya yang berkepentingan kepada rakyat kita di seluruh negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.
Menurut Annabell, kerajaan negeri terbuka untuk menerima cadangan dan pandangan daripada semua pihak, asalkan ianya bertujuan untuk meningkatkan prestasi kerajaan negeri dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.
“Saya yakin kepimpinan beliau (Hajiji) adalah kepimpinan untuk semua dan beliau adalah seorang figura yang terbuka menerima idea serta buah fikiran yang bertujuan untuk membawa perubahan ke arah yang lebih baik, khasnya untuk seluruh negeri Sabah.
” Kita seharusnya jangan terlalu bersikap negatif dalam menilai atau melontarkan sebarang komen tanpa kita fahami atau mempunyai maksud tersurat dan tersirat yang sebenarnya berpunca dari diri sendiri.
“Sebarang usaha atau gerakan yang bertujuan untuk memburukkan dan menjatuhkan pentadbiran kerajaan negeri yang fokusnya kepada rakyat, adalah tidak wajar.
“Kenapa perlu bersifat pentingkan diri?, sudah-sudahlah dengan perangai begitu, ada baiknya kita sama-sama ganding idea dan keringat untuk bekerja bersama demi negeri Sabah,” katanya lagi.
Tambah Annabell lagi, pemikiran negatif sesetengah pihak adalah punca kepada berlakunya masalah dan dendam tidak berkesudahan.
“Kita mahu fokus kerja untuk selesaikan masalah rakyat, masalah negeri, dan semua ini perlu dibuat satu per satu.
“Jika asyik fikir strategi berlawan, berperang, bertelingkah, rebut kuasa, sampai bila kita akan selesai dan dapat membawa perubahan berimpak besar kepada rakyat dan negeri Sabah?” tambahnya lagi.
Annabell turut menyeru semua pihak untuk peka dan menghentikan tindakan kurang bijak untuk menggulingkan kerajaan dengan niat jahat.
“Kita perlu fokus fikir macam mana mahu bawa negeri Sabah ke satu aras yang lebih baik dari segi ekonomi, kemajuan dan pembangunan.
“Kita jangan terlalu layan hasutan dan emosi negatif tu, itu semua adalah benda yang meruntuhkan keharmonian negeri dan masyarakat kita.
“Macam mana kita mahu capai segala yang rakyat dan negeri Sabah mahu, jika pemikiran kita tu dipenuhi benda-benda negatif?,” ujar beliau lagi.
— TAMAT
Add Comment