KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menawarkan pendekatan politik yang stabil, berteras pembangunan dan berlandaskan perpaduan sebagai asas untuk membawa Sabah ke tahap kemajuan yang lebih tinggi, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, kerajaan pimpinannya telah membuktikan keupayaan mentadbir negeri dengan baik sepanjang lima tahun lalu, termasuk dalam memperkukuh ekonomi, pembangunan modal insan dan kesejahteraan rakyat.
“Untuk memastikan kesinambungan kestabilan dan kemajuan ini, GRS perlu diberi mandat baharu oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) Sabah ke-17 pada 29 November ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kempen Rumah Kita, Kita Jaga GRS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau dan Karambunai, di sini, pada Rabu.
Hadir sama calon GRS DUN Darau, Datuk Mohamed Razali Razi dan calon GRS DUN Karambunai, Datuk Haji Arshad Idris.
Menurut Hajiji, GRS bukan sahaja menekankan kestabilan politik, malah memberi tumpuan serius terhadap pembangunan rakyat dan perpaduan masyarakat berbilang kaum di Sabah.
“GRS menawarkan politik yang stabil, politik pembangunan dan politik perpaduan. Jika kita mahukan Sabah yang maju dan sejahtera, maka pilihlah GRS.
“Kita telah membuktikan keupayaan mentadbir negeri ini selama lima tahun, termasuk mengangkat ekonomi Sabah ke tahap yang lebih baik serta melaksanakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 merentasi pelbagai sektor,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa walaupun masih terdapat beberapa program yang memerlukan penyempurnaan, kerajaan negeri komited untuk meneruskan agenda pembangunan ke arah Sabah yang lebih maju dan setanding dengan negeri-negeri lain.
Mengulas pencalonan di DUN Darau dan Karambunai, Hajiji berkata calon GRS yang diketengahkan mempunyai pengalaman, kebolehan serta komitmen tinggi untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Sekaranglah masa untuk mengangkat pemimpin yang berkelayakan menjadi wakil rakyat. Calon GRS yang kita pertaruhkan adalah individu berpengalaman dan mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.
Beliau turut mengingatkan rakyat agar tidak terpengaruh dengan janji pembangkang yang pernah diberi peluang memerintah tetapi gagal menunjukkan prestasi memberangsangkan.
“Mereka sudah diberi peluang sebelum ini, tetapi gagal. Rakyat menolak mereka kerana rekod pencapaian yang tidak meyakinkan. Jangan biarkan Sabah kembali berundur ke belakang,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji berkata kerajaan negeri pimpinannya peka terhadap masalah rakyat khususnya isu tanah kampung dan setinggan di kawasan Darau dan Karambunai.
Beliau mendedahkan bahawa sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri, mesyuarat Jemaah Menteri Negeri telah meluluskan keputusan bagi mewartakan tanah kerajaan di sekitar Kota Kinabalu sebagai rizab kampung untuk penempatan penduduk tempatan.
“Tanah kerajaan akan diserahkan kepada Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan diwartakan sebagai rizab kampung bagi menyelesaikan isu setinggan.
“Di Karambunai dan Darau juga, kita merancang pembinaan perumahan rakyat demi kesejahteraan penduduk setempat,” katanya.
Hajiji menegaskan bahawa semua perancangan ini hanya dapat diteruskan sekiranya GRS kembali diberikan mandat untuk mentadbir Sabah.
— TAMAT

























Add Comment