Home » Nizam gesa hentikan politik murahan, hormati sensitiviti keluarga
Berita GRS Politik

Nizam gesa hentikan politik murahan, hormati sensitiviti keluarga

MERIAH: Nizam bersama lebih 1,000 penduduk di sekitar kawasan Kampung Titingan dalam majlis berkenaan.

TAWAU:Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, menggesa semua pihak agar menghormati sensitiviti keluarga dan tidak mempolitikkan isu peribadi menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah Ke-17 (PRU17 Sabah).

Beliau menyifatkan tindakan memuat naik semula video ucapan lama melibatkan Allahyarham Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan di media sosial sebagai tidak beradab serta menyinggung perasaan keluarga.

“Kurang daripada 48 jam sebelum hari pengundian, ada pihak mengambil kesempatan menggunakan isu peribadi termasuk menularkan semula video ucapan arwah Datuk Tawfiq yang dirakam pada 2018.

“Hari ini sudah 2025. Perkara ini tidak sepatutnya dipolitikkan. Ini bukan isu politik, tetapi soal adab dan sensitiviti keluarga,” katanya ketika ditemui selepas Ceramah Perdana Calon GRS DUN Apas bersama rakyat, di sini, hari ini.

Nizam berkata, penggunaan isu melibatkan keluarga dan orang yang telah meninggal dunia jelas mencerminkan ketidakmatangan politik pihak terbabit, meskipun mereka sering mendakwa diri sebagai berpengalaman dan beretika.

“Jika benar mereka mendakwa matang dan beradab dalam berpolitik, perkara sebegini tidak akan berlaku. Ini hanya memperlihatkan sikap angkuh dan kegagalan untuk menghormati batas kemanusiaan.

“Anak sulung arwah sendiri telah mengeluarkan kenyataan meminta agar video itu tidak dipolitikkan. Jadi hormatilah permintaan tersebut,” katanya.

Sementara itu, Nizam merakamkan penghargaan kepada jentera GRS DUN Apas yang disifatkan komited dan bekerja keras sepanjang tempoh kempen, khususnya di saat-saat akhir menjelang pengundian.

“Alhamdulillah, momentum sokongan semakin meningkat. Fokus kami kini adalah memastikan semua pengundi yang dikenal pasti keluar mengundi dan menggunakan hak mereka dengan sebaiknya.

“Insya-Allah, kami akan terus bergerak secara berhemah dan matang, dan sekiranya diberi kepercayaan, kerusi ini akan disumbangkan kepada GRS bagi meneruskan mandat pemerintahan lima tahun akan datang,” katanya.

— TAMAT