KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menzahirkan rasa bangga atas kejayaan anak jati Sabah, Gerald Wong yang dipilih sebagai penerima The 7th ASEAN Rural Development and Poverty Eradication Leadership Award, sekali gus mengharumkan nama Sabah dan Malaysia di peringkat serantau.
Beliau berkata, pengiktirafan itu membuktikan kemampuan anak Sabah untuk bersaing dan memimpin inisiatif pembangunan luar bandar di peringkat ASEAN.
“Saya merakamkan ucapan tahniah atas pencapaian yang amat membanggakan ini. Kejayaan Gerald wajar dijadikan inspirasi kepada golongan belia Sabah bahawa komitmen, usaha gigih dan kesungguhan membangunkan masyarakat mampu menerima pengiktirafan antarabangsa,” katanya ketika menerima kunjungan hormat Gerald di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini.
Gerald yang merupakan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Farm Tokou, dipilih sebagai seorang daripada 20 penerima mewakili 10 negara ASEAN, sekaligus meletakkan Sabah sebaris dengan tokoh pembangunan luar bandar serantau yang menunjukkan kepimpinan cemerlang dalam pembasmian kemiskinan dan pemerkasaan komuniti.
Mengulas pengiktirafan tersebut, Gerald berkata kejayaan itu merupakan hasil usaha kolektif bersama komuniti luar bandar yang terlibat dalam pelaksanaan inisiatif pertanian moden.

“Melalui Farm Tokou, kami memperkenalkan pendekatan pertanian moden seperti hidroponik, akuaponik dan teknologi pertanian pintar, di samping menyediakan latihan kemahiran serta pembangunan ekonomi komuniti bagi menjana pendapatan secara mampan.
“Farm Tokou kini beroperasi di Telupid dan Penampang serta membimbing lebih 100 komuniti luar bandar di 10 daerah termasuk Telupid, Penampang, Sook, Ranau, Kudat dan Papar sejak 2023,” katanya.
Menurutnya, pengiktirafan itu bukan kejayaan individu semata-mata tetapi hasil kepercayaan komuniti luar bandar terhadap inovasi pertanian sebagai pemangkin ekonomi.
“Ini adalah kejayaan bersama komuniti yang percaya pertanian moden mampu memberi masa depan lebih baik,” katanya.
— TAMAT

























Add Comment