KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah sentiasa mengalu-alukan kehadiran pelabur asing, khususnya dari Republik Rakyat China untuk meneroka peluang pelaburan strategik di negeri ini bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi serta pembangunan mampan jangka panjang.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, Sabah mempunyai potensi besar dalam pelbagai sektor utama termasuk industri minyak dan gas, tenaga, ekonomi biru, pelancongan, pertanian moden dan teknologi hijau.
Menurut beliau, kerjasama pelaburan dengan China tidak hanya memberi manfaat dari segi pembangunan ekonomi, malah berupaya menyumbang kepada pemindahan teknologi, penciptaan peluang pekerjaan dan pengukuhan rantaian ekonomi tempatan.

“Sabah sentiasa terbuka kepada pelabur asing yang berminat kerana terdapat banyak sektor berdaya maju yang boleh diterokai bersama untuk keuntungan jangka panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan hormat Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Dr. Zhu Xinglong di pejabatnya di Menara Kinabalu.
Dalam pertemuan itu, Hajiji berharap Pejabat Konsul Jeneral China dapat membantu mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelaburan kondusif dalam kalangan komuniti perniagaan China.
Zhu dalam pertemuan itu turut berkongsi pelaksanaan pelbagai program yang memperkukuh hubungan diplomatik, ekonomi dan budaya antara China dan Sabah, selain menyampaikan jemputan rasmi kepada Hajiji untuk menghadiri beberapa program serta lawatan rasmi ke China bagi meneroka kerjasama yang lebih luas.
Turut hadir, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.
— TAMAT

























Add Comment