KOTA KINABALU – Perkataan ‘gengster’ yang dibangkitkan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor pada hari terakhir Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bersidang, bukan ditujukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri Senallang, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebaliknya hanya sebagai andaian apabila pihak berkenaan ingin mendapatkan maklumat ia harus dilakukan mengikut peraturan.
Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya berkata demikian bagi menjelaskan isu permohonan yang dibangkitkan Mohd Shafie terhadap Hajiji bagi mendapatkan dokumen syarikat daripada pihak Sabah Mineral Management (SMM).
“Mengenai kenyataan Yang Amat Berhormat (Hajiji), dia bukan menujukan kepada Yang Berhormat Senallang (Mohd Shafie), dia mengatakan kalau kita masuk minta orang secara gengster, memang orang tak mahu beri. Yalah, betullah… Kalau masuk pejabat orang, minta maklumat, memang mereka tak mahu beri.
“Bukan maksudnya ADUN Senallang pergi ke SMM, minta macam gengster,” jelasnya bagi menenangkan suasana dalam sidang DUN pada Khamis.
Sebelum itu, ADUN Sri Tanjong, Justin Wong memohon supaya perkataan gengster yang disifatkan sebagai sangkaan jahat yang disebut Hajiji untuk ditarik semula.
Dalam Persidangan tersebut, Mohd Shafie memaklumkan bahawa pihaknya cuba mendapatkan dokumen daripada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SMM namun tidak diperoleh dan meminta pihak kerajaan mengambil maklum mengenainya.
“Saya telah menghantar peguam saya pagi tadi dan saya juga telah bercakap dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) untuk membolehkan (mendapatkan dokumen) malangnya dia mengatakan dokumen itu tidak ada dengannya. Jadi saya minta seperti yang dijanjikan oleh Ketua Menteri sebelum ini,” katanya.
Susulan daripada itu, Hajiji berkata, tiada masalah untuk mendapatkan dokumen tersebut namun harus diperoleh secara mengikut peraturan.
“Saya ingin menyatakan di sini yang kita tiada masalah, tetapi kita ada peraturan-peraturan. Kalau sekiranya wakil-wakil rakyat mahukan dokumen dari SMM, tulislah surat apa yang dimahu, nama-nama syarikat dan sebagainya, itu saja.
“Saya ingat kita ada peraturan, jangan kita masuk pergi pejabat orang terus macam gengster minta apa yang kita mahu, saya ingat kita tidak boleh begitu.
Add Comment