Home » Hajiji terima kunjungan Jawatankuasa Induk Anugerah Sukan Negeri Sabah
Berita GRS Politik

Hajiji terima kunjungan Jawatankuasa Induk Anugerah Sukan Negeri Sabah

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor diberi taklimat oleh Datuk Nizam Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan semasa kunjungan hormat Jawatankuasa Induk Anugerah Sukan Negeri Sabah di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu pada Isnin.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menerima kunjungan hormat Jawatankuasa Induk Anugerah Sukan Negeri Sabah di pejabatnya di Menara Kinabalu, di sini, pada Isnin.

Kunjungan itu diketuai Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Datuk Nizam Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan, yang turut menyampaikan jemputan rasmi serta memberi taklimat kepada Ketua Menteri mengenai penganjuran Majlis Anugerah Sukan Negeri Sabah 2026.

Majlis berprestij yang diadakan setiap dua tahun sekali itu dijadual berlangsung pada 6 Februari depan di Magellan Sutera Harbour Resort, Kota Kinabalu.

Menurut Nizam, sebanyak 16 kategori anugerah akan disampaikan bagi mengiktiraf kecemerlangan atlet, jurulatih dan tokoh sukan yang telah mengharumkan nama Sabah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, termasuk Anugerah Tokoh Sukan Negeri Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menerima cendera kenangan daripada Datuk Nizam Datuk Seri Panglima Abu Bakar Titingan pada kunjungan hormat Jawatankuasa Induk Anugerah Sukan Negeri Sabah di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu pada Isnin.
Dalam pada itu, Hajiji merakamkan ucapan tahniah serta penghargaan kepada atlet Sabah yang mewakili kontinjen Malaysia dan berjaya menyumbang keseluruhan 10 pingat emas, 15 perak dan 15 gangsa pada temasya Sukan Para ASEAN (APG) Ke-13 yang berlangsung di Nakhon Ratchasima, Thailand, dari 21 hingga 26 Januari 2026.

Beliau berkata, pencapaian cemerlang itu membuktikan keupayaan atlet Sabah untuk bersaing di peringkat antarabangsa, sekali gus menjadi sumber inspirasi kepada generasi muda dalam bidang sukan.

Menurut beliau, dalam temasya berkenaan, atlet Sabah berjaya meraih lima pingat emas, tujuh perak dan tiga gangsa dalam acara olahraga; lima emas, lapan perak dan sembilan gangsa dalam acara renang; satu gangsa dalam acara powerlifting; dua gangsa bagi acara ping pong; serta masing-masing satu perak dan satu gangsa dalam acara lawn bowls (acara demonstrasi).

Dua atlet dari Tuaran, Abdul Halim Mohammad dan Ivan Jovic Suan, turut mencuri tumpuan apabila masing-masing menyumbang lima dan tiga pingat emas menerusi acara renang dan olahraga.

Selain itu, atlet para olahraga Sabah, Wong Kar Gee, turut mencatat sejarah apabila memenangi pingat emas acara lompat jauh lelaki T12 dengan lompatan sejauh 6.83 meter, sekali gus memecahkan rekod baharu temasya Sukan Para ASEAN.

Turut hadir pada kunjungan berkenaan ialah Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Datuk Seri Dr Anil Sandhu; Setiausaha Tetap kementerian, Datuk Mansur Haji Asun; Pengerusi Lembaga Sukan Sabah, Syed Ahmad Syed Abas; Pengarah Majlis Sukan Negeri, Mohd Asneh Mohd Noor; serta Pengurus Besar Lembaga Sukan Sabah, Terrance Edward Pudin.

–TAMAT