KAHERAH: Universiti Universiti Al-Azhar Al-Sharif menyatakan kesediaan menawarkan biasiswa kepada pelajar Malaysia, khususnya dari Sabah, sekali gus memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam bidang pendidikan dan hal ehwal Islam.
Perkara itu dimaklumkan dalam pertemuan rasmi antara Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga Exco Agama Negeri Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, dengan Wakil Universiti Al-Azhar Al-Sharif merangkap Timbalan Syeikh Al-Azhar, Muhammad Al-Dhuwaini, di pejabat beliau di sini, baru-baru ini.
Pertemuan itu turut disertai Sheikh Dr. Ayman Abdul Ghani, Ketua Sektor Institut Al-Azhar dan Prof. Dr. Mohammad Al-Jundi, Setiausaha Agung Majma‘ Al-Buhuth Al-Islamiyyah, bagi membincangkan pengukuhan kerjasama dalam bidang pendidikan Islam, latihan imam dan pendakwah serta dakwah berteraskan pendekatan Wasatiyyah.
Selain tawaran biasiswa, Al-Azhar turut mencadangkan pelaksanaan program berkembar antara institusi pengajian Islam di Sabah dengan universiti berkenaan bagi memperluas akses pendidikan tinggi Islam bertaraf antarabangsa.
Dr. Al-Dhuwaini turut memuji adab dan akhlak pelajar Malaysia, khususnya dari Sabah, selain merakamkan penghargaan atas sumbangan Kerajaan Negeri Sabah dalam menaja serta menyediakan peralatan bagi pembinaan Dewan Al-Imam Al-Tayeb di Akademi Antarabangsa Al-Azhar.
Sementara itu, Mohd Arifin berkata Sabah amat menghargai kesediaan Universiti Al-Azhar untuk bekerjasama secara lebih erat dalam pembangunan modal insan Islam.
“Kerajaan Negeri Sabah mengalu-alukan tawaran biasiswa dan kerjasama akademik ini sebagai usaha memperkasa pendidikan Islam serta melahirkan generasi ulama dan pendakwah berwibawa.
“Kerjasama ini selari dengan gagasan Malaysia MADANI serta hala tuju pembangunan negeri Sabah Maju Jaya,” katanya.
Beliau turut menjemput Timbalan Syeikh Al-Azhar untuk mengadakan lawatan rasmi ke Sabah bagi meneroka potensi kerjasama strategik yang lebih luas pada masa hadapan.

























Add Comment