Home » Hajiji umum pembubaran DUN Sabah, laluan PRN17 bermula
Berita GRS Politik

Hajiji umum pembubaran DUN Sabah, laluan PRN17 bermula

Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri ke-17 pada satu majlis di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor hari ini mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, sekali gus membuka tirai kepada Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 (PRN17).

Pengumuman rasmi itu dibuat selepas Majlis Perjumpaan Ketua Menteri Sabah bersama Ahli-Ahli Yang Berhormat (YB) Kerajaan Negeri di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, pagi tadi.

Terdahulu, Hajiji menghadap Tuan Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, bagi mempersembahkan nasihat kerajaan negeri untuk membubarkan DUN. Pertemuan itu difahamkan bertujuan mendapatkan perkenan rasmi daripada Tun Musa.

Dengan pembubaran ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka akan menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian dalam tempoh terdekat, sejajar dengan peruntukan perlembagaan negeri dan persekutuan.

Pembubaran DUN Sabah ini menandakan bermulanya fasa baharu kempen politik negeri, yang bakal menyaksikan pertembungan antara blok GRS, Pakatan Harapan, pembangkang serta parti-parti tempatan lain menjelang PRN17.

— TAMAT