KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, menyeru rakyat Sabah untuk terus memberikan mandat kepada kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi memastikan kesinambungan pembangunan dan kestabilan politik negeri menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Beliau berkata demikian sebagai respons kepada pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, dengan perkenan Tuan Yang Terutama Tun Musa Aman baru-baru ini.
Menurut Nizam, sejak diberikan mandat pada PRN ke-16, kerajaan GRS telah membuktikan keupayaan mentadbir dengan penuh tanggungjawab melalui pelaksanaan dasar pembangunan menyeluruh Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), yang menekankan keseimbangan antara kemajuan ekonomi, kebajikan rakyat dan kelestarian alam sekitar.
“Dalam tempoh penggal ini, kita telah melihat pertumbuhan pelaburan baharu dalam sektor tenaga hijau, pelancongan, pertanian serta perusahaan kecil dan sederhana. Ia membuka peluang pekerjaan dan menggerakkan ekonomi rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Nizam turut menekankan pelaksanaan pelbagai inisiatif berteraskan rakyat, termasuk program Rumah Mesra SMJ untuk golongan B40 dan pasangan muda, peningkatan kemudahan asas di luar bandar, serta penambahbaikan dalam sektor pendidikan dan kesihatan.
Katanya, hubungan erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan turut memastikan lebih banyak peruntukan disalurkan ke Sabah untuk projek pembangunan jangka panjang.
“Hanya dengan kestabilan politik dan kesinambungan dasar yang terbukti berkesan, kita dapat memastikan pembangunan yang telah dirancang terus berjalan demi kemajuan rakyat dan negeri Sabah,” tegas beliau.
Nizam menyeru rakyat agar terus memberikan sokongan padu kepada GRS bagi memastikan agenda pembangunan dapat diteruskan tanpa gangguan politik demi kesejahteraan bersama.
— TAMAT

























Add Comment