KOTA KINABALU:Hasil bumi Sabah bukan “tabung simpanan peribadi” mana-mana individu, tegas Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, susulan kenyataan dan video tular melibatkan ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei.
Menurut Nizam, beberapa rakaman video menunjukkan Albert Tei secara terbuka mengaku memberi “sumbangan politik” dan memohon campur tangan pemimpin tertentu bagi melindungi kepentingannya dalam projek perlombongan pasir silika.
“Adakah wajar orang luar menganggap hasil bumi Sabah sebagai ‘piggy bank’ mereka? Ini milik rakyat Sabah. Tindakan kerajaan negeri membatalkan lesen perlombongan Tei adalah langkah tepat bagi menghalang penyalahgunaan sumber negeri,” katanya dalam sebuah wawancara bersama FMT.

Laporan media sebelum ini mendedahkan tangkap layar mesej WhatsApp antara Tei dan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, yang didakwa menerima RM1.78 juta. Dalam perbualan itu, Tei dikatakan merayu agar operasi perlombongan pasir silika miliknya tidak dihalang kerana ia adalah “piggy bank” mereka.
Selain itu, Tei dalam satu video turut mengakui menyerahkan RM550,000 kepada Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Dr Joachim Gunsalam, sebagai “sumbangan politik”, yang kemudian disahkan Joachim kepada media.
Nizam menegaskan bahawa Tei bukan pemberi maklumat (whistleblower) seperti digambarkan, sebaliknya individu utama yang terlibat dalam penyalahgunaan proses perlombongan mineral di Sabah.
“SPRM sendiri tidak mengiktiraf Tei sebagai pemberi maklumat. Undang-undang tidak melindungi pemberi rasuah. Dia bukan mangsa , dia pelaku utama,” katanya.
Beliau turut menyatakan video dan pendedahan Tei lebih bersifat usaha mengubah naratif untuk menuduh kerajaan negeri menindasnya, selepas lesen perlombongan dibatalkan di bawah arahan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Albert Tei kini sedang dibicarakan di Mahkamah Khas Rasuah, Kota Kinabalu atas dua pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM350,000 kepada dua bekas ADUN, bagi tujuan melobi lesen mencari gali mineral. Beliau mengaku tidak bersalah.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan Ketua Menteri Sabah bebas daripada sebarang salah laku berkaitan kes ini.
Kerajaan negeri sebelum ini menegaskan komitmen untuk mengurus hasil bumi Sabah secara telus dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana cubaan mengeksploitasi sumber negeri bagi kepentingan politik atau peribadi.
— TAMAT

























Add Comment