Home » Hukuman sebat wajar dikenakan bagi kes buli pelajar sebabkan kematian : Masiung Banah
Berita GRS Politik

Hukuman sebat wajar dikenakan bagi kes buli pelajar sebabkan kematian : Masiung Banah

TAHNIAH: Masiung menyampaikan sijil graduasi kepada salah seorang pelajar.

TONGOD: Hukuman lebih berat termasuk sebatan wajar dipertimbangkan terhadap pelaku jenayah buli dalam kalangan pelajar, khususnya membabitkan kes kehilangan nyawa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, berkata undang-undang sedia ada tidak cukup memberi pengajaran kerana tiada peruntukan khusus membabitkan jenayah buli.

Menurutnya, kes yang menyebabkan kematian atau kecederaan parah perlu dimasukkan dalam cadangan akta baharu.

“Hukuman sebat lebih praktikal bagi pesalah juvana, sebagai keadilan kepada keluarga mangsa. Hukuman sedia ada terlalu ringan berbanding hukuman gantung sampai mati terhadap penjenayah dewasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Graduasi Tingkatan Enam Daerah Telupid/Tongod di Dewan Simpang Entilibon, semalam.

Masiung yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) mengulas insiden buli yang mengorbankan Zara Qairina Mahathir, 13, pelajar Asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Kinarut pada 16 Julai lalu.

Mangsa ditemukan tidak sedarkan diri di parit berhampiran asrama sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I keesokan harinya.

Menurut Masiung, pesalah juvana yang membunuh atau mencederakan mangsa ketika ini hanya berdepan hukuman penjara beberapa tahun dan denda, sekali gus tidak memberi kesan pencegahan yang berkesan.

“Kes bunuh membabitkan pelajar, khususnya di asrama, sukar dibanteras selagi tiada undang-undang khusus yang lebih berat. Kekerapan kes buli di sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi berpunca daripada kelemahan undang-undang sedia ada,” katanya.

Kes Zara mencetuskan kemarahan orang ramai serta liputan media antarabangsa. Antara kes serupa termasuk kematian Mohammad Nazmie Aizat, 17, di Lahad Datu pada November tahun lalu, dan Zulfarhan Osman Zulkarnain di UPNM pada Mei 2017.

Sehubungan itu, Masiung turut mencadangkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) diwajibkan di semua sekolah dan asrama bagi memantau kejadian buli. Beliau meluluskan peruntukan RM25,000 untuk pemasangan CCTV di bangunan Sekolah Menengah Entilibon dan Penangah.

— TAMAT