Home » IIT Madras teroka penubuhan kampus Asia pertamanya di luar India di Sabah
Berita GRS Politik

IIT Madras teroka penubuhan kampus Asia pertamanya di luar India di Sabah

CENDERAHATI: Raghunathan (tiga kiri) menyampaikan cenderahati kepada Hajiji semasa kunjungan terbabit.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyambut baik rancangan institusi pengajian tinggi terkemuka India, Indian Institute of Technology Madras (IITM) untuk meluaskan sayapnya ke Sabah.

Katanya, negeri ini melalui Yayasan Kolej Universiti Sabah (UCSF) juga sedang mempertimbangkan kemungkinan untuk menjalin kerjasama akademik dengan IITM.

Beliau menyatakan perkara ini semasa bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Global IITM Dr Thirumalai Madhavnarayan dan Dekan Global IITM Prof Raghunathan Remgaswamy.

Kunjungan disertai Pengerusi Petra Group dan Yayasan Sekhar Datuk Seri Dr Vinod Sekhar di Menara Kinabalu, di sini.

Semasa pertemuan terbabit, Hajiji diberi taklimat berkenaan IITM yang sedang meneroka kemungkinan untuk menubuhkan kampus Asia pertamanya di luar India di Sabah.

Langkah ini sebahagian daripada pelan strategik IITM untuk membangunkan ekosistem inovasi global, dengan Malaysia dikenalpasti sebagai langkah awalnya ke Asia selepas kejayaan kampus antarabangsa pertamanya di Zanzibar, Afrika, yang dilancarkan dua tahun lalu.

Hadir sama adalah Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong, Lembaga Pengarah Uni YS Sdn Bhd dan Pengerusi UCSF Datuk Dr Mohd Yaakub Johari serta Naib Canselor UCSF Datuk Dr Rafiq Idris.

— TAMAT