Home » Ilmu dan teknologi kunci kejayaan golongan muda: Masiung
Berita GRS Politik

Ilmu dan teknologi kunci kejayaan golongan muda: Masiung

PENGHARGAAN: Masiung (dua kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Pengetua SMK Entilibon, Abdul Gani Ajam.

TONGOD: Menguasai ilmu pengetahuan serta kemahiran teknologi adalah kunci utama golongan muda membuka pintu kejayaan.

Wakil Rakyat Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, ilmu adalah senjata paling ampuh bagi mengubah sebuah acuan yang signifikan dalam membentuk kerjaya masa hadapan.

“Sebuah negara akan mundur tanpa kemahiran ilmu dan kepakaran teknologi rakyatnya.

“Golongan belia yang cemerlang dalam pendidikan mampu menjadi pengubal dasar dalam pentadbiran kerajaan,” katanya ketika merasmikan Program Ceramah Motivasi SMJ 2025 di Dewan Tertutup Majlis Daerah di sini.

MESRA: Masiung (kanan) turut bermesra dengan para peserta yang menyertai ceramah terbabit.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) itu berkata, golongan muda yang mempunyai kemahiran tinggi dan ijazah dalam kurikulum tertentu boleh menjadi arkitek moden membangunkan sebuah negeri dan negara.

Beliau menggesa golongan muda di daerah itu supaya bijak merebut peluang pendidikan dan kerjaya yang disediakan kerajaan.

Masiung menegaskan, beliau sudah membuka peluang kepada anak-anak muda yang cemerlang dalam pendidikan di Tongod melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti melalui bantuan Yayasan Pendidikan Tongod (YPT).

“YPT diwujudkan untuk membantu pelajar cemerlang di daerah ini melangkah ke menara gading sama ada di universiti tempatan atau luar negara.

“Ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial sebuah agensi kerajaan, Borneo Cement Sabah (BCS) Sdn Bhd, di mana kilang ini kini sedang dibina di Kampung Kawayoi, Tongod,” katanya.

Kilang simen itu bukan sahaja terarah kepada industri ekonomi tetapi turut membantu membina kemudahan infrastruktur dan asas kepada penduduk sekitar.

Lebih 300 peserta terdiri daripada golongan muda, pelajar dan persatuan menyertai ceramah motivasi berkenaan.

Program itu dianjurkan bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Institusi Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) serta Pemerkasa.

— TAMAT