Home » Ilmu pengetahuan penting untuk lahir, bentuk seorang modal insan
Berita Gagasan Rakyat Berita GRS Politik

Ilmu pengetahuan penting untuk lahir, bentuk seorang modal insan

TERBAIK: Masidi (tengah) ketika berada di DUN Sabah, hari ini.

KOTA KINABALU: Ilmu pengetahuan sangat penting bagi melahir dan membentuk seorang modal insan yang berilmu serta berkualiti.

Menteri Kewangan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, pembangunan modal insan perlu dirancang dengan teliti agar dapat melahirkan sumber tenaga yang berpengetahuan, berkemahiran, berdaya saing dan mempunyai jati diri yang seterusnya menjadi aset penting kepada kemajuan kehidupan sejagat.

“Menyedari hakikat ini, kerajaan negeri terus memperkukuhkan lagi pembangunan modal insan dengan penyediaan peruntukan sebanyak RM474.55 juta pada tahun hadapan.

“Antara program modal insan yang menjadi keutamaan kerajaan ialah RM101 juta untuk biasiswa dan dermasiswa kepada 1,500 orang bakal pelajar yang melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“RM131 juta untuk pembangunan dan operasi sekolah agama Islam dan masjid serta program-program kerohanian di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah. 

“RM56.75 juta untuk pembangunan badan-badan keagamaan bukan Islam, sekolah mubaligh, sekolah jenis kebangsaan dan persendirian,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Selain itu katanya, sebanyak RM44 juta bantuan kepada pelajar-pelajar yang kurang berkemampuan untuk meneruskan pengajian serta bantuan bagi menyokong institusi-institusi pendidikan.

Menurutnya, sebanyak RM44.57 juta untuk pembangunan dan operasi perpustakaan termasuk perpustakaan desa dan perpustakaan bergerak di seluruh negeri.

“RM27.45 juta untuk pelaksanaan pelbagai program, latihan dan kursus kemahiran di Jabatan Pembangunan Sumber Manusia. RM12.92 juta untuk pelaksanaan kursus-kursus dan penyelidikan di institut-institut pertanian.

“RM33 juta untuk pelaksanaan kursus dan latihan kemahiran sains, teknologi dan inovasi,” katanya.

Masidi berkata, seiring dengan perkembangan arus pendigitalan dunia tanpa sempadan, kerajaan negeri turut melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memperkasa dan mempercepatkan pembangunan prasarana Teknologi Maklumat (ICT) di Sabah.

Katanya, antara inisiatif itu ialah pemasangan 300 buah Very Small Aperture Terminal (VSAT) akan membolehkan penduduk di kawasan pedalaman menerima akses jalur lebar melalui program kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“RM43.49 juta untuk menaik taraf rangkaian internet di 1,031 buah premis kerajaan negeri termasuk di Pusat-Pusat e-Desa menggunakan gentian optik berkelajuan minima kepada 300 mbps.

“RM27.17 juta untuk memperkasa keselamatan siber serta mengukuhkan pemantauan, pengesanan dan pelaporan ancaman siber khususnya jaringan internet kerajaan negeri bagi memudahkan akses maklumat oleh rakyat,” katanya.

Selain itu katanya, melalui Memorandum Persefahaman antara Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan China Science and Technologi Museum (GSTM), anak Sabah yang berminat dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) akan berpeluang untuk mengikuti sesi pembelajaran secara interaktif melalui penyertaan dalam pameran yang dianjurkan untuk mendapatkan pendedahan.

Katanya, sebanyak 60 bahan akan dipamerkan dalam tempoh tiga tahun mulai September 2023 sehingga Ogos 2026. 

“Pada tahun hadapan, pameran ini akan diadakan di Membakut, Beaufort, Sipitang, Tenom dan Tawau. 

“Selain itu, Pusat Ekonomi Kreatif dan Inovasi Sabah (SCENIC) akan juga meneruskan pelbagai program bagi memastikan bakat modal insan di Sabah terus digilap termasuk memacu industri animasi negeri sebagai Pusat Latihan Berlesen Toon Boom pertama di Malaysia.

“Untuk makluman, SCENIC telah dinobatkan Anugerah Khas-The Most Impactful Public Agency in Driving Digital Adoption di Top Tech Innovation Award 2022 yang disokong oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). 

— Yap Siong Han