KOTA KINABALU: Pembentangan Belanjawan Sabah 2024 oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun pada Jumaat dengan tema ‘Sabah Teguh, Rakyat Terbela’ diyakini bukan sahaja memberi kesejahteraan kepada rakyat, tetapi juga berupaya menjamin pembangunan berterusan.
Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Beaufort, Mohd Shahril Osin (gambar) berkata, strategi-strategi perbelanjaan belanjawan yang digariskan dalam Belanjawan 2024 berupaya membawa kemakmuran dalam pelbagai aspek sekaligus memenuhi keperluan rakyat.
Dengan kemasukan pelaburan asing termasuk domestik ke Sabah yang mencecah nilai RM9 bilion setakat pertengahan tahun 2023, Shahril memberitahu ini menunjukkan kerajaan yang memerintah hari ini berjaya menarik kemasukan pelabur menjadikan Sabah antara wilayah kelima tertinggi menerima pelaburan.
“Sektor perindustrian di Sabah yang dijangka akan terus bertumbuh positif pada tahun hadapan, oleh itu kerajaan berkeyakinan memperuntukkan sebanyak RM124.06 juta bagi tujuan perbelanjaan mengurus dan pembangunan bagi melonjakkan lagi pertumbuhan dalam sektor itu.
“Peruntukkan yang dikhususkan untuk sektor perindustrian dalam belanjawan itu diharap dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan di Sabah sekaligus mengurangkan kadar peratusan pengangguran, ” katanya.
Selain sektor perindustrian, Shahril turut menyambut baik Belanjawan 2024 yang dibentangkan kerana telah memperuntukkan sebanyak RM474.55 juta untuk pembangunan modal insan yang dilihat dapat melahirkan sumber tenaga yang berkualiti, sekaligus memenuhi keperluan semasa.
Beliau berharap, peruntukkan modal insan dalam belanjawan itu dapat memberikan keutamaan kepada rakyat di luar bandar bagi membolehkan mereka mendapat kursus dan latihan untuk menimba kemahiran.
Jelas Shahril, potensi dalam dunia digital wajar dimanfaatkan terutama rakyat di luar bandar dan pedalaman justeru latihan serta bimbingan ke arah itu perlu diperhebatkan agar tiada yang tersisih dalam peredaran teknologi yang ada pada hari ini.
Justeru beliau berharap kerajaan akan melaksanakan program, kursus dan latihan jangka pendek di luar bandar dengan lebih giat setelah belanjawan itu diluluskan kerana berkeyakinan dapat memberi hasil yang positif dalam jangka masa panjang.
— Kenneddy Corlleus
Add Comment