Home » Infrastruktur, OKU, komuniti luar bandar terus dibela
Berita GRS Politik

Infrastruktur, OKU, komuniti luar bandar terus dibela

LENGKAP: James menunjukkan tanda bagus semasa bergambar bersama Mesin CT Scan Multidetektor (MDCT) di Hospital Kota Marudu yang memperkukuh perkhidmatan diagnostik untuk lebih 190,000 penduduk di wilayah utara.

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Sabah meneruskan usaha menaik taraf infrastruktur dan membela nasib komuniti marjinal termasuk warga emas, golongan OKU serta masyarakat Palauh sepanjang pimpinan Datuk James Ratib.

Dalam dua tahun terakhir, lebih 100 klinik lama dinaik taraf dari struktur kayu kepada bangunan konkrit di seluruh negeri seterusnya meningkatkan keselesaan dan keselamatan rakyat luar bandar.

James juga memperoleh kelulusan untuk memasang mesin PET‐CT pertama di Hospital Wanita dan Kanak-kanak (HWKK) Sabah, sekali gus memudahkan pesakit kanser menjalani imbasan di negeri sendiri tanpa perlu ke Semenanjung.

Pada masa sama, isu tanah membabitkan masyarakat Palauh turut diberikan perhatian melalui pelaksanaan penyelesaian awal kerajaan neveri bagi menjamin kestabilan hidup komuniti berkenaan.

Bagi warga emas B40, program jagaan diperluas dengan menyediakan bekalan makanan seimbang dan bantuan kewangan bulanan secara e-duit, manakala belia Sabah turut menerima manfaat melalui geran mikro keusahawanan.

Golongan wanita pula diberi ruang memperkasa diri melalui siri bengkel kesihatan menyeluruh bertemakan Heart Health, Empowerment, Aspiration and Resilience for Transformation yang membangkitkan semangat kepimpinan dan kekuatan dalaman.

 James menyempurnakan Penyerahan mesin Hemodialisis sumbangan kerajaan negeri bagi KPMKR kepada Zon Kluster Keningau melibatkan enam unit Hospital Keningau dan masing-masing dua unit kepada Tambunan, Tenom dan Klinik Kesihatan Nabawan.
SUMBANGAN: James menyempurnakan Penyerahan mesin Hemodialisis sumbangan kerajaan negeri bagi KPMKR kepada Zon Kluster Keningau melibatkan enam unit Hospital Keningau dan masing-masing dua unit kepada Tambunan, Tenom dan Klinik Kesihatan Nabawan.

Dalam masa sama, komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) dibantu dengan penyediaan alat bantuan pendengaran, kursus vokasional serta peluang latihan kemahiran bagi memastikan mereka tidak terpinggir.

Menurut laporan kementerian, maklum balas penerima menunjukkan lebih 90 peratus peningkatan kesejahteraan subjektif selepas menyertai pelbagai program dalam KPMKR.

Belanjawan Negeri 2025 turut menyaksikan KPMKR menerima peruntukan tambahan RM150 juta bagi memperluas program digital, kesihatan dan infrastruktur komuniti termasuk penambahan konselor komuniti di setiap DUN dan pemantapan sistem maklum balas digital.

Usaha ini menandakan komitmen berterusan James dalam memastikan kebajikan rakyat Sabah terus menjadi keutamaan bukan sekadar dari aspek fizikal tetapi juga mental dan sosial.

Inisiatif KPMKR turut merangkumi penubuhan Pusat Komuniti Sejahtera (PKS) di beberapa daerah strategik seperti Pitas, Tongod dan Nabawan. 

 James melawat di bahagian bilik rawatan hospital.
LAWAT: James melawat di bahagian bilik rawatan hospital.

PKS ini berfungsi sebagai pusat sehenti yang menyediakan khidmat sosial, kesihatan asas, kaunseling serta latihan komuniti dalam satu lokasi yang memudahkan capaian masyarakat luar bandar kepada pelbagai perkhidmatan kerajaan.

James turut mengetengahkan pendekatan kolaboratif antara agensi melalui inisiatif “Satu Keluarga Satu Penjaga” di mana sukarelawan komuniti dilatih dan dipantau untuk membantu mengesan serta melaporkan isu kebajikan warga emas dan individu berisiko di kawasan pedalaman secara berkala.

Dalam aspek pendidikan, KPMKR memperkenalkan Program Tunas Sejahtera bagi anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan yang merangkumi bantuan keperluan sekolah, kelas tuisyen percuma serta modul pembangunan sahsiah, program ini kini diperluas ke 60 kawasan luar bandar melibatkan lebih 5,000 pelajar.

Pembangunan modal insan juga diberi perhatian apabila kementerian melaksanakan Kursus Latihan Keusahawanan Sosial untuk komuniti wanita dan belia yang ingin memulakan perniagaan mikro berasaskan kemahiran tempatan seperti tenunan, kraftangan dan pemprosesan makanan, seterusnya menggalakkan pendapatan mampan dalam komuniti.

Keseluruhan pendekatan KPMKR dalam pimpinan James memperlihatkan kesungguhan untuk tidak hanya memberi bantuan sementara, tetapi membina ekosistem sokongan jangka panjang yang mengangkat martabat masyarakat Sabah dengan memastikan tiada sesiapa pun tertinggal dalam arus pembangunan negeri. 

–Vivi Olviana Najurus