KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa generasi muda mesti dipersiapkan dengan nilai integriti sejak awal kerana mereka bakal menjadi pemimpin masa depan negeri dan negara.
Menurut beliau, sifat kejujuran, amanah dan tanggungjawab harus dibentuk bermula dari rumah, diperkukuh melalui pendidikan di sekolah dan diamalkan dalam kehidupan seharian.
“Program Kedai Jujur adalah platform terbaik untuk pelajar mengamalkan nilai integriti setiap hari. Ia satu latihan berharga dalam mempersiapkan mereka menghadapi cabaran dunia luar yang lebih kompleks,” katanya ketika merasmikan Program Kedai Jujur 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Mutiara, di sini, hari ini.
Hajiji menegaskan usaha memupuk integriti bukanlah tanggungjawab Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sahaja, tetapi memerlukan kerjasama semua pihak termasuk keluarga, sekolah dan masyarakat.
“Integriti hanya boleh menjadi budaya apabila seluruh masyarakat menjadikannya amalan harian. Inilah asas pembentukan pemimpin masa depan yang berwibawa,” ujarnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada SPRM, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah serta SuriaGroup kerana bersama-sama menjayakan program tersebut. Katanya, permuafakatan antara agensi kerajaan, sektor swasta dan institusi pendidikan penting untuk melahirkan masyarakat holistik yang berteraskan nilai integriti.
Hajiji menyeru lebih banyak sekolah menyertai program itu yang berinspirasikan budaya masyarakat Sabah sejak dahulu, iaitu sistem jual beli tanpa penjaga dengan berlandaskan kejujuran pembeli.
“Konsep Kedai Jujur berasaskan nilai tradisi ini perlu diwariskan kepada generasi muda agar budaya integriti terus subur,” katanya.
Dalam majlis itu, Hajiji turut mengumumkan peruntukan khas RM20,000 kepada SK Mutiara bagi membiayai aktiviti sekolah tersebut. Program Kedai Jujur 2025 kini dilaksanakan di 10 sekolah di seluruh Sabah termasuk Kota Kinabalu, Kudat, Sandakan, Tawau dan Lahad Datu.
— TAMAT

























Add Comment