KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, memberi jaminan bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan melantik seorang pemimpin Cina sebagai Timbalan Ketua Menteri sekiranya gabungan itu kembali membentuk kerajaan negeri pada pilihan raya akan datang.
Menurut Hajiji, pelantikan itu akan dibuat jika lebih ramai wakil rakyat Cina dipilih, sebagai pengiktirafan terhadap peranan besar komuniti tersebut dalam pembangunan ekonomi dan sosial negeri.
“Jika kerajaan GRS sekali lagi diberi mandat, dan ramai pemimpin Cina dipilih, salah seorang daripada mereka akan dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Mesra bersama masyarakat Cina, sekolah mubaligh, sekolah menengah persendirian Cina dan badan keagamaan bukan Islam di Dewan Hakka, di sini kelmarin.
Hajiji menegaskan sumbangan masyarakat Cina dalam pelbagai sektor termasuk perdagangan, pelaburan dan pentadbiran kerajaan negeri sangat penting kepada kemajuan Sabah.
“Dalam sektor swasta, usahawan dan peniaga Cina berada pada tahap teratas. Malah, dalam perkhidmatan awam negeri, ramai pegawai berketurunan Cina memegang jawatan tinggi dalam kementerian, jabatan dan syarikat berkaitan kerajaan,” katanya.
Bagi memperkukuh pentadbiran negeri, Hajiji berkata beliau turut melantik beberapa penasihat berpengalaman dalam bidang minyak dan gas, kewangan, pelaburan dan perundangan,kebanyakannya daripada komuniti Cina.
Antaranya ialah bekas Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, Tan Sri David Wong Dak Wah, yang kini mengetuai Sabah Law Reform Advisory Council (SLRAC), sebuah badan bebas yang menilai undang-undang lapuk dan mencadangkan reformasi undang-undang yang lebih relevan, adil dan mesra rakyat.
“Inilah cara kita memperkukuh tadbir urus negeri, memastikan Sabah terus progresif dan dihormati,” jelasnya.
— TAMAT

























Add Comment