KOTA KINABALU: Jabatan kerajaan berkaitan diminta segera memastikan pelaksanaan projek-projek kritikal di Nabawan dilaksanakan mengikut jadual serta piawaian yang ditetapkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin berkata, projek berkenaan antaranya berkaitan dengan jaringan kemudahan asas dan prasarana awam di Nabawan.
Beliau juga mempersoalkan status terkini pembinaan dua buah jambatan konkrit yang menuju ke pekan Nabawan.
“Peruntukan sudah diluluskan, kontraktor sudah dilantik namun kerja belum mula.
“Apabila saya mengikuti rapat status terkini, rupanya terdapat masalah utiliti iaitu Sabah Electricity dan Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) belum bertindak untuk mengalihkan tiang-tiang elektrik dan paip-paip saluran bekalan air, perkara ini menyebabkan kerja-kerja pembinaan jambatan belum dapat dimulakan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Negeri 2025, di Dewan Undangan Negeri (DUN), pada Isnin.
Beliau juga mahu kerajaan negeri segera menaik taraf dua buah jambatan dan jalan gravel kepada jalan raya berturap di Kg. Pemunterian Nabawan.
Selain itu katanya, jalan-jalan pertanian atau jalan kebun di kawasan luar bandar juga harus diambil perhatian serius, kerana nadi rakyat luar bandar mereka bergantung kepada aktiviti pertanian, penternakan dan perikanan untuk kelangsungan hidup.
— Yap Siong Han
Add Comment