SANDAKAN: Jambatan Kampung Seng Kee sudah lama dibaiki dan pihak pembangkang seharusnya memeriksa fakta sebelum mengeluarkan kenyataan tidak berasas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew berkata, beliau menyokong kenyataan yang dikeluarkan Ketua Kampung, Kg See Kee, Adin Awang dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Leila, Razmi Bidin berkenaan isu jambatan di kampung berkenaan.
“Selepas jambatan kampung itu runtuh pada 8 Januari lalu, saya telah menyalurkan peruntukan untuk kerja-kerja pembaikan kemudahan itu.
“Ia kemudian dilaksanakan penduduk kampung secara bergotong-royong dan kemudahan itu siap dalam tempoh 10 hari.
“Saya sendiri turun padang membuat tinjauan dan mendapati hasil kerja dilakukan adalah baik dan gembira kemudahan itu dapat disiapkan dalam tempoh yang singkat,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
George menyeru pihak pembangkang agar hentikan politik murahan dan jangan jadikan perkara itu sebagai modal politik.
Katanya, usaha menyebarkan maklumat tidak tepat sehingga mengelirukan rakyat bukan sesuatu yang bertanggungjawab.
“Saya berharap semua pihak dapat menghormati usaha yang telah dilakukan oleh komuniti setempat dan tidak memesongkan fakta untuk kepentingan sendiri.
“Kita perlu fokus kepada perkara yang lebih penting iaitu membangunkan kawasan kita, bukan bermain politik murahan,” tegasnya.
–Yap Siong Han
Add Comment