Home » Jangan terpengaruh dengan mainan politik: Shahril
Berita GRS Politik

Jangan terpengaruh dengan mainan politik: Shahril

Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Beaufort, Mohd Shahril Osin


KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Bahagian Beaufort, Mohd Shahril Osin mengajak rakyat supaya tidak terpengaruh dengan fitnah politik yang dilemparkan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Beliau berkata, hasil kepimpinan Hajiji banyak aspek pembangunan yang telah dibawa dan sedang dilaksanakan namun tidak pernah sesekali dihebohkan oleh pemimpin politik khususnya pihak yang sering ‘mendesak’ Ketua Menteri melepaskan jawatan sedangkan beliau mempertahankan Sabah daripada sebarang ‘eksploitasi’.

“Sebagai contoh bantuan pendidikan yang dilaksanakan kerajaan yang diterajui GRS telah banyak menyalurkan keperluan kepada golongan sasar khususnya anak Sabah bagi memastikan mereka mendapat pendidikan di institusi pengajian tinggi (IPT) di dalam dan luar negara.

“Namun perkara itu tidak pernah disebut oleh ‘mereka’, sedangkan apa yang dilakukan adalah demi negeri khususnya manfaat anak-anak Sabah. Jika taksub sangat untuk berpolitik, lihat dahulu sekeliling di kiri dan kanan.

“Sudah terang lagi bersuluh, Hajiji lah yang membatalkan lesen cari gali bagi melindungi sumber asli daripada pihak berkepentingan. Apa rasionalnya mendesak Ketua Menteri sedangkan beliau yang mempertahankannya, ” katanya.

Tambahan itu, Shahril berkata tindakan mendesak Ketua Menteri jelas memperlihatkan ‘warna’ sebenar pemimpin yang lebih memfokuskan untuk menjatuhkan kepimpinan negeri berbanding perkara lain yang jelas tersasar daripada perjuangan utama parti mereka.

Berbanding perjuangan GRS, gabungan banyak melaksanakan agenda pembangunan yang bermanfaat menerusi hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang memang terbukti telah banyak memberi impak dalam pelbagai aspek dan terbaru Belanjawan Sabah 2025.

Justeru beliau berharap Hajiji tidak akan menurut sebarang desakan termasuklah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti yang didesak pihak berkepentingan bagi membolehkan kerajaan meneruskan usaha-usaha yang baik untuk seluruh rakyat di negeri ini.

Shahril akui, ‘pembangkang’ tentunya amat mencemburui kejayaan-kejayaan kerajaan hari ini terutama yang telah dilaksanakan di bawah pelan SMJ yang menjurus kepada golongan sasar bagi memastikan golongan itu menikmati kehidupan yang lebih baik dan sejahtera.

Sementara itu, beliau turut memuji tindakan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan yang berpendirian teguh dengan menyatakan sokongan beliau terhadap Hajiji sebagai Ketua Menteri.

Shahril kagum dengan Jeffrey kerana berjaya ‘menghidu’ permainan politik pihak berkepentingan yang dengan sengaja melaga-lagakan parti komponen dalam gabungan bagi menjatuhkan Hajiji, dengan mencadangkan beliau sebagai Ketua Menteri interim.

Jeffrey menegaskan beliau tidak mahu namanya dilibatkan dalam plot atau mainan politik parti lain dan tegas tetap menyokong Hajiji sebagai Ketua Menteri serta berpendirian untuk bersama-sama dengan GRS.

Jelasnya, sudah tentu selepas ini akan timbul lagi usaha-usaha lain untuk menjatuhkan kerajaan dan berharap rakyat tidak akan terpengaruh dengan fitnah parti lain yang sedang merancang pelbagai cara untuk menggugat kestabilan di negeri Sabah.

–Kenneddy Corlleus