Home » Matbali, Yusof sampaikan sumbangan kepada 45 gereja
Berita GRS Politik

Matbali, Yusof sampaikan sumbangan kepada 45 gereja

SERAH: Matbali dan Yusof menyampaikan sumbangan kepada gereja sempena majlis itu.

SIPITANG: Sebanyak 45 buah gereja di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sindumin menerima sumbangan daripada Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob.


Daripada jumlah itu, sebanyak 10 buah gereja besar dan 35 buah gereja kecil menerima sumbangan sempena perayaan Hari Krismas masing-masing RM1,000 (gereja besar) dan RM300 untuk 35 gereja kecil.


Sumbangan disampaikan sendiri Matbali bersama Yusof dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Kampung Solob, baru-baru ini.


Matbali ketika ditemui berkata, sumbangan berkenaan merupakan acara tahunan pihaknya sempena perayaan Krismas bagi meraikan masyarakat khususnya komuniti gereja di kawasan itu.


Jelas beliau, usaha itu bertujuan membantu pihak pemimpin gereja dan komunitinya melaksanakan sebarang aktiviti sempena Krismas yang bakal tiba tidak lama lagi.

“Ini adalah acara tahunan kita yang sedikit sebanyak membantu pihak gereja dan komuniti mereka melaksanakan sebarang aktiviti sosial sama ada di peringkat daerah atau pun kampung sempena Krismas ini.


“Usaha ini juga sebagai simbol sokongan kita dalam memupuk semangat hormat-menghormati dalam kalangan rakyat majmuk di Sabah yang telah kita waris sejak sekian lama.


“Justeru, saya juga menyeru supaya kita terus bersatu padu walau berbeza agama dan kaum kerana keharmonian ini adalah keunikan kita sebagai rakyat Sabah yang perlu dipertahankan,” katanya. 

 –Kenneddy Corlleus

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment