Home » Jawatankuasa khas Kabinet tangani isu tahap sara diri – Hajiji
Politik

Jawatankuasa khas Kabinet tangani isu tahap sara diri – Hajiji

PENGHARGAAN: Jeffrey , mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang penerima semasa Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat Sabah di Wisma Pertanian di sini.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menubuhkan satu jawatankuasa khas Kabinet yang akan diketuai Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri (MAFFI) bagi menangani isu tahap sara diri atau Self Suffencincy Level (SSL) di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata usaha gigih MAFFI dan agensi berkaitan yang menjayakan matlamat meningkatkan SSL membabitkan pengeluaran semua jenis bahan makanan di negeri ini perlu dipuji.

Katanya antara isu yang dikenal pasti membabitkan keluasan kawasan sawah yang semakin kurang berikutan dijadikan sebagai kawasan pembangunan perumahan dan kedai.

“Bagi menangani isu ini, kerajaan meneroka kawasan penanaman padi baharu di Trusan Sapi, Beluran seluas kira-kira 2,000 ekar.

“Kawasan ini dimajukan secara bersepadu oleh MAFFI dan agensinya iaitu Korporasi Pembangunan Desa (KPD), Jabatan Pertanian, Jabatan Pengairan dan Saliran dengan penglibatan pihak sektor swasta serta penduduk Trusan Sapi sebagai peserta penanaman padi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan peringkat Sabah di Wisma Pertanian di sini.

Teks ucapannya dibacakan Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G Kitingan.

Hajiji berkata, usaha kerajaan ini adalah bagi menjamin bekalan makanan yang mencukupi selain menghasilkan lebih banyak produk pertanian bernilai tinggi untuk tujuan komersial yang berupaya merangsang pertumbuhan sektor berkenaan.

“Sektor pertanian, perikanan dan penternakan mempunyai potensi yang sangat besar untuk terus dibangunkan di negeri ini.

“Penekanan terhadap aktiviti rantaian nilai secara menyeluruh iaitu peningkatan pengeluaran, pengumpulan hasil, pemprosesan dan pemasaran yang lebih sistematik serta penggunaan teknologi terkini untuk menjamin bekalan makanan yang mencukupi dan meluaskan pasaran eksport ke luar negara,” katanya.

Katanya sebanyak RM115.39 juta diperuntukkan kepada Jabatan Pertanian untuk meningkatkan pengeluaran pelbagai hasil tanaman bagi subsektor tanaman dalam menjana pendapatan golongan petani daripada RM2,000 kepada RM4,000 sebulan.

“Usaha kerajaan untuk membantu golongan sasar B40 dan miskin tegar akan diteruskan menerusi Korporasi Pembangunan Desa (KPD) dengan peruntukan berjumlah RM20.28 juta. 

“Seramai 2,015 peserta juga akan menerima manfaat daripada pelaksanaan pelbagai program ternakan dan tanaman.

“KPD Smart System juga sudah dibangun dan akan digunakan di pusat pengumpulan hasil tani KPD,” katanya.

Beliau berkata kerajaan negeri menerusi Jabatan Perikanan, Ko-Nelayan dan SAFMA antaranya, akan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menjamin sumber bekalan perikanan yang mencukupi di negeri ini bagi subsektor perikanan.

“Nelayan muda digalakkan untuk mengusahakan ternakan ikan dalam sangkar, pengkulturan rumpai laut, termasuk meneroka industri hiliran pemprosesan hasil perikanan dengan mengeluarkan produk seperti Keropok Amplang.

“Sejumlah RM46.09 juta diperuntukkan kepada Jabatan Perikanan tahun ini bagi meneruskan pelbagai program jaminan pengeluaran hasil perikanan mampan untuk menampung pasaran dalam negara dan antarabangsa,” katanya.

Tambahnya buat masa ini Sabah masih mengimport daging lembu, daging kambing, produk tenusu, produk ayam dan telur bagi sektor ternakan.

Beliau bagaimanapun berkata Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah giat melaksanakan Projek Memperkasa Industri Ruminan Sabah bernilai RM50 juta.

“Jabatan ini juga menjalin kerjasama dengan beberapa GLC melalui beberapa projek seperti Projek Integrasi Ternakan bagi Kelapa Sawit (PINTAR), Projek Ternakan Kambing dan Program Transformasi Ternakan,” katanya.

— Vivi Olviana Najurus