BANDAU – Majlis penyerahan watikah perlantikan Pengerusi JKKK Fasa 1 bagi kawasan Bandau telah disempurnakan oleh Datuk Maijol Mahap selaku Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Bandau kelmarin.
Dalam ucapannya Maijol berkata JKKK memainkan peranan penting dalam pengurusan dan pembangunan kampung. Sebagai agen perubahan di peringkat akar umbi, tanggungjawab JKKK meliputi pelbagai aspek kehidupan di kampung, dari pembangunan infrastruktur sehingga menjaga kelestarian alam sekitar.
“JKKK haruslah sentiasa bersama penduduk kampung, mendengar, memahami dan cuba untuk memberi jalan penyelesaian terbaik kepada permasalahan penduduk kampung. Pada masa yang sama JKKK juga harus sentiasa berhubung rapat dengan jabatan-jabatan kerajaan khasnya Pejabat Daerah dan UPPM untuk mengenalpasti apa program yang sesuai untuk kampung masing-masing.
“Saya berharap agar semua JKKK yang bakal memulakan tugas nanti supaya memastikan, tiada satu pun penduduk kampung yang tercicir dari menikmati program kerajaan khasnya dalam program menoktahkan kemiskinan tegar”, kata Maijol yang juga Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat.
Maijol juga menyeru JKKK mengambil inisiatif dalam aktiviti penjagaan alam sekitar, menjaga kebersihan dan keceriaan kawasan kampung bagi mengelak penularan penyakit berjangkit. Selain itu, aktiviti-aktiviti yang memupuk kefahaman dan kerjasama antara penduduk kampung juga perlu dilaksanakan bagi membina satu kampung yang aman, harmoni, dan sejahtera, di mana setiap individu merasa diterima dan dihargai.
Beliau berharap agar JKKK akan terus memainkan peranan penting dalam menyokong dan mempertahankan dasar-dasar Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.
Dalam majlis tersebut seramai 43 orang Pengerusi JKKK menerima watikah perlantikan dan selebihnya akan diserahkan dalam masa terdekat ini.
Turut hadir dalam majlis tersebut ialah ADO Kota Marudu Tn Marshal Bin Anthony, Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) Tn Sharif Kadah Sharif Osman, Timbalan Ketua Bahagian PBS N6 Bandau Pn Julita Dalinsi, Ketua Bahagian USNO Tn Azahari Amit, AJK Bahagian Gagasan Rakyat N6 Bandau dan AJK Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) N6 Bandau serta pemimpin masyarakat tempatan.
— TAMAT
Add Comment