Home » Kawasan kilang klinker dan simen bakal dijadikan pusat pelancongan
Berita Gagasan Rakyat Politik

Kawasan kilang klinker dan simen bakal dijadikan pusat pelancongan

TAKLIMAT: Masiung (tiga kanan) diberi taklimat oleh Micheal (dua kiri) tentang projek fasa pertama BCS.

TONGOD: Status zon perindustrian kilang klinker dan simen di Kampung Kawayoi di sini akan ditransformasikan sebagai pusat tarikan pelancongan pada masa akan datang.

Pengerusi Borneo Cement (Sabah) Sdn Bhd (BCS), Datuk Masiung Banah berkata, BCS akan menjadi syarikat perindustrian pertama di negara ini menawarkan zon kilangnya sebagai pusat pelancongan terbuka.

Katanya, kilang yang dijangka beroperasi menjelang Mei tahun depan itu menjadi tempat pemprosesan batu kapur yang moden dan bebas pencemaran.

“Kilang pemprosesan moden ini turut menitikberatkan penjagaan alam sekitar di zon perindustrian kilang dan boleh dijadikan produk tarikan pelancongan.

“Pengunjung boleh melihat sendiri cara operasi kilang daripada peringkat awal hingga proses akhir pembungkusan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut berkata demikian dalam lawatan kerja dua hari ke atas kerja-kerja fasa pertama membangunkan kilang itu, semalam.

Menurutnya, perkara paling penting adalah pelancong akan mendapat pengalaman berguna berkaitan tatakelola kilang berkenaan menjaga alam sekitar dan mewujudkan sistem keselamatan pencemaran udara.

“Kawasan batu kapur yang ditumbuhi flora dan fauna serta ekosistem tropika akan dikekalkan tanpa dicemari sisa pepejal kilang,” katanya.

 Masiung dan Micheal ketika melawat tapak projek kilang berkenaan.
LAWAT: Masiung dan Micheal ketika melawat tapak projek kilang berkenaan.

Katanya, kawasan zon perindustrian kilang itu juga akan dibuka sebagai pusat kajian kepada universiti tempatan di negara ini.

“Saya telah berbincang dengan pengurusan BCS supaya kawasan sungai, air terjun dan tumbuhan eksotik yang terdapat dalam zon perindustrian kilang perlu dipelihara dan tidak diterokai.

“Pelawat boleh menjalankan aktiviti mendaki bukit pada ketinggian 900 meter dari aras laut sambil melihat suasana batu kapor serta menikmati pemandangan indah matahari terbit dan waktu senja,” katanya.

Masiung berkata, cadangan menjadikan zon kilang klinker dan simen untuk aktiviti pelancongan akan dilaksanakan sebaik sahaja kilang itu beroperasi.

Turut hadir, Pengurus Besar BCS, Micheal Kinsuan; Pegawai Daerah Tongod, Yuseri Ismail Yusof dan Pegawai Pembangunan Masyarakat, Tokyo Hasim Omar.

–Hamzah Sanudin