Home » Kejayaan Program Felo SMJ bukti komitmen kerajaan Sabah bangunkan generasi pemimpin baharu :Hajiji
Berita GRS Politik

Kejayaan Program Felo SMJ bukti komitmen kerajaan Sabah bangunkan generasi pemimpin baharu :Hajiji

ALBUM: Hajiji merakamkan gambar kenangan dengan Felo SMJ 4.0.

KOTA KINABALU:Program Felo Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri Sabah terus membuktikan keberkesanannya sebagai platform strategik melahirkan generasi muda berwawasan, berintegriti dan berjiwa pemimpin, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Beliau berkata, program itu bukan sekadar latihan kepimpinan, sebaliknya medan pembentukan jati diri dan nilai integriti yang menjadi asas kepada pemimpin masa hadapan negeri ini.

“Program Felo SMJ bukan sahaja membina pengalaman, tetapi membentuk disiplin, empati dan wawasan.

Ia seiring dengan matlamat Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menjadikan pembangunan modal insan sebagai teras utama kemajuan negeri,” katanya semasa majlis penyampaian watikah pelantikan Felo SMJ 4.0 kepada 42 peserta baharu di Menara Kinabalu, semalam.

Menurut Hajiji, program itu telah membuka laluan kepada anak muda Sabah untuk terlibat secara langsung dalam ekosistem pentadbiran dan pembangunan negeri.

“Kita tidak hanya mahu melahirkan pemimpin yang cemerlang dari segi ilmu dan kemahiran, tetapi yang lebih penting pemimpin yang berjiwa rakyat, memahami denyut nadi masyarakat serta meletakkan kepentingan negeri mengatasi kepentingan peribadi,” tegasnya.

Hajiji menyeru para peserta agar menggunakan peluang ini untuk mendalami realiti pentadbiran kerajaan negeri, memahami bagaimana dasar digubal dan keputusan dilaksanakan bagi manfaat rakyat.

“Jadikan tempoh sebagai Felo SMJ ini medan kepimpinan sebenar. Letakkan integriti sebagai asas diri dan buktikan bahawa anak muda Sabah mampu membawa idea bernas serta solusi berkesan untuk negeri ini,” katanya.

Beliau menambah bahawa golongan belia bukan sekadar pelapis, tetapi merupakan aset penting dalam memastikan kesinambungan pembangunan negeri.

“Pengalaman dalam program ini diharap menjadi batu loncatan kepada perjalanan kepimpinan mereka demi Sabah yang lebih maju, bersatu dan berjaya,” ujarnya.

Hajiji turut memuji syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang sentiasa memberi sokongan terhadap pembangunan modal insan Sabah.

Beliau berkata, edisi kali ini menyaksikan penyertaan 20 GLC, meningkat dua kali ganda berbanding hanya 10 GLC pada penganjuran sebelumnya.

“Peningkatan ini bukan sekadar angka, tetapi manifestasi kepercayaan dan sokongan teguh antara kerajaan negeri dan GLC untuk membentuk barisan pemimpin muda masa depan,” katanya.

Hajiji turut memaklumkan bahawa sebahagian peserta Felo terdahulu telah menerima tawaran pekerjaan tetap di GLC masing-masing selepas tamat program, satu perkembangan yang disifatkannya amat membanggakan.

“Ia menunjukkan bahawa usaha melahirkan pemimpin muda melalui Felo SMJ bukan sahaja memberi manfaat dari segi ilmu dan pengalaman, tetapi turut membuka laluan kerjaya serta memperkukuh ekosistem bakat tempatan,” katanya.

Ketua Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) atas pelaksanaan berterusan program itu yang berjaya mengasah bakat kepimpinan dan daya saing belia di negeri ini.

“Usaha KBSS ini selaras dengan komitmen kerajaan untuk memastikan anak muda Sabah tidak tertinggal dalam pembangunan negeri, malah menjadi peneraju kepada masa depan yang lebih cemerlang,” katanya.

— TAMAT