Home » GRS kekal fokus, tolak politik ugutan dan ketamakan jawatan
Berita GRS Politik

GRS kekal fokus, tolak politik ugutan dan ketamakan jawatan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan

KOTA KINABALU:Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, menegaskan bahawa Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak akan tunduk kepada sebarang bentuk politik ugutan, perebutan jawatan, atau permainan emosi segelintir pihak yang kecewa.

Beliau menyifatkan apa yang digelar sebagai “gelombang baharu” oleh Parti Warisan (WARISAN) hanyalah “gelombang kekecewaan” — ciptaan beberapa individu yang kecewa setelah gagal memperoleh kedudukan dalam kerajaan negeri.

“Apa yang mereka sebut sebagai kebangkitan sebenarnya hanyalah kumpulan kecil individu kecewa yang ingin menjarah jawatan dan harta bersama GRS,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Nizam turut menyebut beberapa nama bekas pemimpin yang berpaling tadah  antaranya Datuk Harun Ismail (bekas Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Pitas), Amri Abu Bakar (Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Pantai Manis) dan Datuk Peter Chin Kee Yong (Ketua Bahagian LDP Tanjung Kapor) yang didakwanya meninggalkan perjuangan GRS kerana kepentingan peribadi.

“Ada antara mereka yang pernah meminta menjadi calon dan mengugut keluar parti apabila tidak diberi peluang,” jelasnya.

Menurut Nizam, rakyat Sabah sudah matang dan dapat menilai permainan politik sedemikian iaitu politik yang berasaskan tamak, ugutan dan dendam peribadi, bukannya perjuangan untuk rakyat.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan GRS di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor kekal fokus terhadap pembangunan dan kestabilan negeri, tanpa terganggu dengan drama politik individu yang tidak konsisten.

“Kita tidak perlukan mereka yang hanya setia ketika ada jawatan tetapi berpaling tadah apabila kemahuan peribadi tidak dituruti.

Kalau ini dikatakan ‘gelombang baharu’ Warisan, ia sebenarnya gelombang kecewa, gelombang tertolak, dan gelombang manusia yang hilang arah,” tegasnya.



— TAMAT