Home » Kempen WCare Kota Marudu tekan kepentingan kesihatan reproduktif wanita
Berita GRS Politik

Kempen WCare Kota Marudu tekan kepentingan kesihatan reproduktif wanita

Isteri Ketua Menteri, Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag menyaksikan Redonah menyerahkan Baucer Saringan Ujian Mamogram dan HPV DNA pada Majlis Perasmian Program Santuni Kasih: Teknologi dan Nilai Keluarga sempena Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) Peringkat Daerah Kota Marudu 2025 di Dewan PPR Jaya, Kerongkom, Kota Marudu pada Rabu.

KOTA MARUDU:Datuk Redonah Bahanda, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah, telah menyampaikan ucapan alu-aluan dalam Majlis Perasmian Program Santuni Kasih: Teknologi dan Nilai Keluarga sempena Pelancaran Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) di Dewan PPR Jaya, Kerongkom, Kota Marudu.

Beliau merakamkan penghargaan kepada Datin Seri Panglima Datuk Hajah Juliah Salag, isteri Ketua Menteri Sabah merangkap Yang Dipertua MUTIARA GRS atas kesudian menjadi tetamu kehormat.

Penghargaan turut diberikan kepada semua agensi dan pihak penganjur, termasuk LPPKN, MUTIARA GRS, Pejabat Daerah, PDRM, RELA, SESB, hospital, jabatan-jabatan kerajaan serta NGO dan pemimpin akar umbi yang bersama-sama menjayakan program tersebut.

Redonah menegaskan bahawa program ini mencerminkan iltizam bersama dalam menangani isu kesihatan wanita, khususnya berkaitan kanser serviks dan payudara yang semakin membimbangkan.

Beliau menyeru semua wanita berkelayakan agar mengambil peluang menjalani pemeriksaan HPV DNA dan mamogram percuma yang ditawarkan, kerana saringan awal dan kesedaran berterusan adalah kunci mengurangkan risiko dan memastikan rawatan awal dapat dijalankan.

Tambah beliau, tema program yang menekankan teknologi dan nilai keluarga adalah pendekatan holistik yang harus dimanfaatkan untuk memperkukuh institusi kekeluargaan, bukan merenggangkannya. Teknologi harus menjadi alat pemerkasaan, bukan pengasingan dalam keluarga.

Program ini turut membuka ruang kepada masyarakat luar bandar, khususnya wanita, untuk mendapatkan maklumat dan akses perkhidmatan yang selama ini sukar dicapai. Kolaboratif strategik antara agensi terbukti memainkan peranan penting dalam menjayakan pembangunan masyarakat yang inklusif dan mampan.

Sebagai program julung kali diadakan di Kota Marudu, beliau percaya ia menjadi titik tolak kepada lebih banyak inisiatif kesedaran kesihatan dan pencegahan penyakit di peringkat akar umbi. Kejayaan ini diharap menjadi penanda aras untuk program masa hadapan dengan jangkauan yang lebih luas.

Beliau juga menekankan bahawa tanggungjawab menjaga kesihatan wanita bukan hanya di bahu wanita semata-mata, tetapi melibatkan seluruh komuniti termasuk suami, anak-anak dan masyarakat sekeliling. Hanya dengan empati dan sokongan bersama, wanita dapat menjalani kehidupan yang sihat dan bermakna.

Beliau menyeru semua peserta untuk menyebarkan ilmu dan kesedaran yang diperoleh, agar menjadi agen perubahan dalam masyarakat.

“Jangan simpan maklumat ini untuk diri sendiri sahaja, tetapi sebarkan dan ajak orang lain agar sama-sama kita pelihara kehidupan dan kesihatan wanita yang menjadi tulang belakang sesebuah keluarga,” ujarnya.

Di akhir ucapan, beliau mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung.

Beliau turut menyatakan komitmen untuk terus menyokong usaha seumpama ini demi kesejahteraan masyarakat Kota Marudu secara menyeluruh.

–TAMAT