KOTA MARUDU: Teknologi tidak seharusnya menjadi penghalang kepada keharmonian keluarga, sebaliknya wajar dimanfaatkan secara bijaksana bagi menyokong pengukuhan institusi kekeluargaan.
Isteri Ketua Menteri Sabah Datin Seri Panglima Datuk Juliah Salag berkata, dalam dunia yang semakin pesat dengan transformasi digital, masyarakat terutamanya golongan wanita perlu bijak menyeimbangkan penggunaan teknologi dengan nilai kekeluargaan.
“Teknologi harus dilihat sebagai alat yang menyokong keharmonian keluarga, bukan yang merenggangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Santuni Kasih: Teknologi dan Nilai Keluarga sempena Kempen Kesedaran Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe) Peringkat Daerah Kota Marudu 2025 di Dewan PPR Jaya, Kerongkom di sini.
Juliah yang juga Yang Dipertua MUTIARA Gagasan Rakyat Sabah (GRS) menekankan pentingnya komunikasi bersemuka, nilai kasih sayang, rasa tanggungjawab dan hormat dalam keluarga meskipun dalam dunia yang semakin bergantung kepada gajet dan capaian internet.
Mengulas laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) 2023, beliau berkata kadar penembusan internet negara kini mencecah 97.4 peratus dengan 99.3 peratus pengguna mengaksesnya menerusi telefon pintar.
“Peningkatan capaian internet di kawasan luar bandar seperti Kota Marudu membuka ruang kepada pendidikan, kesihatan dan peluang ekonomi, namun turut mewujudkan cabaran terhadap interaksi dan emosi dalam keluarga,” katanya.
Juliah turut menyambut baik kempen kesedaran WCaRe yang disifatkan sebagai langkah konkrit memperkasakan pengetahuan masyarakat luar bandar khususnya wanita tentang kesihatan reproduktif.
Katanya, satu daripada 19 wanita di Malaysia berisiko menghidap kanser payudara manakala satu daripada 40 wanita berisiko mendapat kanser serviks.
“Namun jika dikesan awal, kadar kelangsungan hidup boleh meningkat sehingga 90 peratus. Justeru, kempen seperti WCaRe ini sangat signifikan dan perlu diperluas,” katanya.
Beliau turut memuji pendekatan holistik Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada kesihatan fizikal wanita tetapi juga pemantapan nilai dan struktur keluarga.
“Modul pendidikan kesedaran reproduktif dan celik teknologi untuk wanita dan remaja penting bagi membentuk daya tahan mental dan fizikal yang lebih baik,” katanya.
Juliah turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program berkenaan termasuk LPPKN, Pejabat Daerah Kota Marudu, MUTIARA GRS, sukarelawan, petugas kesihatan dan media.
— TAMAT

























Add Comment