Home » Kenyataan Media Ketua Penerangan Gagasan Rakyat
KENYATAAN MEDIA

Kenyataan Media Ketua Penerangan Gagasan Rakyat

Ketua Penerangan Gagasan Rakyat (PGRS), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan

Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat pada petang ini, bertarikh 23 JUN 2023 yang telah dipengerusikan oleh YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah telah membuat beberapa ketetapan seperti berikut:-

Parti Gagasan Rakyat Sabah menyokong penuh Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Malaysia.

Parti Gagasan Rakyat Sabah menyokong dan mendukung segala usaha serta komitmen berterusan Kerajaan Perpaduan GRS Plus Sabah dalam menangani masalah yang diwarisi dari Kerajaan lalu seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya serta keperluan lain untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan Sabah yang lebih baik.

Parti Gagasan Rakyat Sabah juga menyokong komitmen berterusan Kerajaan Perpaduan GRS Plus Sabah dalam menuntut hak hak rakyat dan negeri Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 dan Perlembagaan Negara.

Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat telah mengambil maklum ke atas sambutan dan respon positif daripada rakyat di seluruh pelusuk negeri Sabah untuk menyertai dan memohon menjadi ahli Parti Gagasan Rakyat Sabah.

Semua bahagian Gagasan Rakyat seluruh Sabah diminta untuk memperkemas jentera parti bagi menghadapi pilihan raya negeri akan datang.

Dimaklumkan juga tarikh mesyuarat cawangan, bahagian dan pusat termasuklah sayap-sayap pergerakan telah ditetapkan seperti berikut;-

I. Mesyuarat Cawangan : 17 Julai 2023 sehingga 31 Ogos 2023

II. Mesyuarat Bahagian : 23 September sehingga 15 Oktober 2023

III. Persidangan Agung Tahunan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Beliawanis Pusat: 25 November 2023

IV. Persidangan Agung Tahunan : 26 November 2023

Pihak urus setia Parti Gagasan Rakyat Sabah akan menghantar surat pekeliling berkaitan mesyuarat Tahunan ini kepada semua bahagian seluruh Sabah.

Sekian.

DATUK NIZAM ABU BAKAR TITINGAN

KETUA PENERANGAN GAGASAN RAKYAT (PGRS)

23 Jun 2023