TAWAU: Persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) dilihat banyak memainkan peranan dalam membantu menyampaikan dasar-dasar kerajaan di negeri ini.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kerajaan negeri sememangnya telah mengiktiraf sumbangan besar yang dilakukan oleh persatuan dan NGO untuk masyarakat di Sabah.
Katanya, peranan mereka juga membantu mencapai hasrat kerajaan dalam memastikan pelan pembangunan dan Hala Tuju Sabah Maju Jaya dapat dilaksanakan dengan jayanya.
“Melalui program dan aktiviti dilaksanakan oleh NGO juga dapat menggalakkan masyarakat pelbagai kaum supaya sentiasa hidup bersatu padu dan sejahtera.
“Justeru, saya berharap persatuan dan NGO yang ada di negeri ini dapat menyusun gerak kerja serta aktiviti dengan lebih kerap lagi,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata demikian ketika merasmikan Kursus Pemantapan Saudara Baharu, di sini semalam.
Menurutnya, kursus yang dianjurkan oleh Persatuan Mualaf Tawau ini telah memberi pendedahan dan penerangan terhadap bidang baharu kepada setiap ahlinya.
“Kursus ini sangat bermanfaat kerana pesertanya diberi peluang untuk berinteraksi, berkongsi pengetahuan dan memperolehi banyak ilmu.
“Saya melihat kursus ini memberi nilai tambah supaya setiap peserta lebih kompeten untuk mendapatkan ilmu pengetahuan terutamanya berkaitan agama Islam,” katanya.
Nizam menzahirkan penghargaan kepada penganjur kerana berjaya mengumpulkan seramai 150 orang peserta yang merupakan golongan mualaf dalam kursus ini.
“Saya mahukan setiap peserta kursus ini dapat mengamalkan cara hidup seorang muslim yang betul dan terus memantapkan akidah mereka.
“Saya juga memuji usaha yang dilakukan oleh Persatuan Mualaf Tawau ini yang sentiasa komited menjalankan program-program untuk ahlinya,” katanya.
Terdahulu, Nizam berbesar hati menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada Persatuan Mualaf Tawau untuk melaksanakan kelas formal Fadhu Ain.
Turut Hadir, Timbalan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) Datuk Mali Ali Malai Ahmad dan Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Mohd Shoffian Mohd Said.
— Hamzah Sanudin
Add Comment