TUARAN: Kerajaan Negeri komited menyediakan kemudahan asas kepada rakyat khususnya di kawasan luar bandar supaya penduduk di kawasan berkenaan juga dapat menikmati kemajuan dan pembangunan.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata beliau juga gembira apabila menyedari bahawa inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) membuahkan hasil.
“Menerusi hala tuju SMJ, ekonomi Sabah kini pulih selepas negeri ini mengalami kelembapan ekonomi akibat pandemik COVID-19 lebih tiga tahun lalu.
“Ini terbukti berdasarkan kejayaan yang kita capai walaupun pembangkang masih cuba menafikannya, saya mengharapkan mereka memberi kritikan membina dan tidak menyebarkan pembohongan tidak berasas,” katanya semasa berucap pada majlis pelancaran Surau, Dewan Terbuka dan Pusat Komuniti di Kampung Damat Tamparuli pada Sabtu di sini.
Hajiji berkata, kerajaan negeri mencapai banyak kejayaan dalam menarik pelabur dan hari ini dua taman perindustrian masing-masing Taman Perindustrian Kota Kinabalu dan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang hampir menjalankan kapasiti penuh.
“Kabinet Negeri juga sudah meluluskan dua taman perindustrian baharu di Kimanis dan satu lagi yang akan diwujudkan antara Kota Belud dan Kota Marudu untuk menempatkan lebih ramai pelabur yang ingin melabur di Sabah.
“Kerajaan negeri komited untuk melakukan yang terbaik untuk Sabah dan usaha intensif sedang dijalankan untuk menyelesaikan isu legasi seperti air, bekalan elektrik dan jalan raya,” katanya.
Sehubungan itu, Hajiji memuji Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Damat atas penyiapan ketiga-tiga bangunan itu yang amat diperlukan penduduk kampung.
Beliau berkata, pembinaan bangunan yang menelan belanja RM450,000 itu juga adalah bukti keprihatinan kerajaan terhadap kesejahteraan masyarakat setempat di sini.
“Ia selaras dengan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan rakyat di seluruh Sabah akan menikmati pembangunan dan kemajuan.
“Pembinaan Pusat Komuniti, pusat aktiviti masyarakat Kristian Kampung Damat yang terletak bersebelahan dengan Surau baharu itu melambangkan keharmonian beragama di Sabah yang unik,” katanya.
Beliau turut menyeru masyarakat setempat untuk memaksimumkan penggunaan kemudahan berkenaan untuk manfaat semua pihak.
— TAMAT
Add Comment