Home » Kerajaan Negeri Menghargai Peranan MICCI 
Berita GRS Politik

Kerajaan Negeri Menghargai Peranan MICCI 

Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menghargai peranan Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) dalam proses penggubalan dasar dan membuat  keputusan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor. 

Lebih penting lagi, beliau berkata MICCI telah memainkan peranan penting sebagai rakan  dalam kemajuan kepada kerajaan persekutuan dan negeri dalam mempromosikan  persekitaran perniagaan yang baik dengan membangun dan melaksanakan rangka kerja  pengawalan yang kukuh yang kondusif untuk persekitaran perniagaan yang sihat. 

Hajiji berkata MICCI juga telah memainkan peranan utama dalam Ekspo Antarabangsa  Sabah yang diadakan setiap dua tahun, yang telah menjadi platform penting untuk  mempromosikan perdagangan, perniagaan dan pelaburan selama lebih dua dekad. 

“Dengan keanggotaan korporat yang kukuh merentasi pelbagai sektor perniagaan dari  pelbagai negara dan pelaburan bernilai bilion, MICCI adalah satu kuasa yang perlu diambil  kira.  

“Ketekunan dan sejarah sokongan kepada anggotanya dalam membangunkan perniagaan  mereka di negara ini adalah sesuatu yang patut dipuji,” katanya pada majlis makan tengah  hari tahunan Cawangan Sabah MICCI 2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah  (SICC) hari ini. 

Ucapannya disampaikan oleh Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) beliau, Datuk Ceaser  Mandela Malakun. 

Hajiji berkata komitmen Kerajaan Negeri untuk menangani pelbagai cabaran, termasuk  infrastruktur dan kemudahan asas, bagi merangsang pertumbuhan ekonomi jelas melalui  belanjawan tertinggi sebanyak RM6.42 bilion tahun ini. 

Di bawah belanjawan itu, beliau berkata RM2.6 bilion telah diperuntukkan untuk menaik  taraf pelbagai infrastruktur dan utiliti, terutamanya yang melibatkan air, elektrik, dan jalan. 

“Kami telah melaksanakan pelan tindakan yang terancang. Antara langkah-langkah ini  adalah untuk membantu peralihan kebergantungan negeri kepada sumber tenaga tidak  boleh diperbaharui kepada tenaga boleh diperbaharui, di mana kami telah melancarkan  Pelan Induk dan Halatuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040). 

“Untuk meningkatkan kapasiti hidro, kami telah melancarkan projek hidroelektrik Ulu Padas,  yang boleh menyumbang sekitar 187.5MW dan juga berpotensi untuk membekalkan sekitar 6,000 juta liter sehari (MLD) air. Selain itu, kapasiti loji rawatan air yang sedia ada juga telah  ditingkatkan,” katanya. 

Hajiji berkata Kerajaan Negeri telah menubuhkan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS)  sebagai badan pengawalseliaan bagi bekalan gas dan tenaga bagi menyelesaikan masalah  tenaga. 

Beliau berkata Sabah Ports Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian untuk mengurus  bersama Pelabuhan Kontena Sapangar Bay, berserta pelaburan dalam infrastruktur logistik  dan rantaian bekalan di Sabah. 

“Dalam bidang pelaburan, kami telah mendapat momentum positif. Jumlah pelaburan asing  dan domestik yang diluluskan di Sabah dalam sektor pembuatan sejak September 2020  dianggarkan bernilai RM17.41 bilion daripada 73 syarikat. 

“Daripada 73 syarikat ini, 52 telah pun menubuhkan perniagaan di negeri ini dengan jumlah  pelaburan sebanyak RM7.8 bilion, yang mencipta 3,636 pekerjaan. Dari 2022 hingga 2024,  Sabah juga menerima cadangan pelaburan baru bernilai tambahan RM42.3 bilion,  menawarkan 32,996 pekerjaan,” katanya. 

Hajiji berkata selain SK Nexilis dan Kumpulan Kibing, pelabur lain termasuk Esteel  Enterprise Sabah Sdn Bhd dengan pelaburan RM19.6 bilion, Curix Sdn Bhd (KKIP), barisan  pengeluaran ketiga Kumpulan Kibing (KKIP), Tex Evolusi Waste Management Sdn Bhd  (SOGIP) dan E Concern (Borneo). 

Beliau berkata Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) juga  sedang menyelaras cadangan pelaburan terkini dari Kumpulan Kibing di Kimanis, TS Asia  Green Infrastructure Sdn Bhd di POIC Lahad Datu dan PMB Technology/Press Metal di  Sipitang. 

“Secara keseluruhan, saya gembira untuk mengatakan bahawa dengan semua pelaburan  ini, Sabah mampu meraih pelaburan bernilai RM58.319 bilion. Oleh itu, Kerajaan Negeri  akan terus memajukan momentum ini bagi memastikan negeri ini kekal kondusif untuk  pelabur,” katanya. 

Hajiji berkata Ekonomi Biru, yang dilancarkan tahun lalu, juga dijangka menjadi pemangkin  dalam pembelbagaian ekonomi negeri. 

“Ekonomi Biru bukanlah sekadar penangkapan ikan laut dalam. Sebenarnya, terdapat 14  komponen dalam Ekonomi Biru yang boleh diterokai. Antaranya adalah tenaga laut boleh  diperbaharui, karbon biru, pelancongan, pengangkutan maritim, dan bioteknologi marin,  antara lain. Saya menanti dengan penuh harapan pelaburan dalam sektor ini pada masa hadapan,” katanya. 

Tamat