Home » Kerajaan perlu naik taraf jalan-jalan bekas pembalakan di Nabawan – Abd Ghani
Berita Gagasan Rakyat Berita GRS Politik

Kerajaan perlu naik taraf jalan-jalan bekas pembalakan di Nabawan – Abd Ghani

Abdul Ghani ketika menyampaikan ucapannya bagi membahaskan Belanjawan Sabah 2024 di DUN Sabah.

KOTA KINABALU: Kerajaan perlu menyalurkan peruntukan untuk membaiki jalan-jalan bekas pembalakan di Nabawan.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan Abd Ghani Mohd Yassin berkata, jalan berkenaan adalah laluan utama penduduk Nabawan.


“Selain itu, masalah bekalan air bersih juga adalah masalah di Nabawan, masyarakat di kawasan saya inginkan agar pihak kementerian dan agensi kerajaan berwajib mengkaji semula bekalan air di daerah itu kerana isunya, apabila musim tengkujuh atau musim kemarau bekalan air kerap kali akan terputus. 


“Selain itu, isu liputan jaringan atau akses internet ini yang masih rendah ketersampaian di kawasan saya juga masih perlu diberi perhatian serius,” katanya dalam Ucapan Perbahasan Belanjawan Sabah 2024 di Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.


Beliau juga menjelaskan Nabawan mempunyai banyak potensi ekonomi khususnya pertanian, pelancongan, perindustrian serta beberapa sektor lain.


Katanya, Nabawan juga akan menerima kesan langsung daripada perpindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan kerana daerah itu hampir dengan sempadan.


“Oleh itu, saya memohon agar kerajaan menambah pembinaan bangunan-bangunan kedai seperti bangunan SEDCO dan kemudahan prasarana awam yang lain.


“Selain itu, saya juga ingin meyentuh sedikit berkenaan dengan isu tanah, saya harap menerusi Belanjawan 2024, kerajaan negeri dapat menyediakan lebih banyak peruntukan bagi urusan kajian semula dalam penilaian tanah-tanah kerajaan yang telah dibubarkan. 


“Sebagai contoh, kawasan-kawasan hutan simpan, begitu juga dengan urusan pengeluaran geran tanah orang kampung yang sudah sekian lama memohon dan menunggu.


“Isu-isu ini perlu diselesaikan segera,” katanya.

— Yap Siong Han