Home » Kerajaan Sabah alu-alukan peruntukan RM25 juta baiki kerosakan akibat banjir
Berita GRS Politik

Kerajaan Sabah alu-alukan peruntukan RM25 juta baiki kerosakan akibat banjir

Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengalu-alukan peruntukan kira-kira RM25 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk pembaikan segera infrastruktur yang rosak dan musnah akibat banjir, tanah runtuh dan kebakaran di Sabah dan Sarawak.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, bantuan segera itu amat diperlukan bagi membantu membaiki kemudahan infrastruktur yang rosak dan terjejas akibat bencana banjir di beberapa daerah di negeri ini sejak awal minggu ini.

“Sudah pasti bantuan ini dapat mengurangkan beban yang ditanggung mangsa-mangsa banjir selain membaiki kerosakan infrastruktur akibat banjir. Kerajaan negeri juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan dengan bantuan segera ini,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan kira-kira RM25 juta untuk memperbaiki segera infrastruktur yang rosak dan musnah akibat banjir, tanah runtuh dan kebakaran di Sabah dan Sarawak ketika berucap pada Majlis Kenduri Rakyat di Ipoh.

Peruntukan ini juga merangkumi bantuan segera berjumlah RM1,000 kepada semua keluarga yang terkesan dengan bencana-bencana ini.

Dalam pada itu, Ketua Menteri berkata kerajaan negeri telah bersiap sedia menghadapi Bencana Monsun Timur dengan seramai 14,209 kekuatan sumber manusia daripada pelbagai agensi penyelamat dan keselamatan terlibat.

“Antaranya, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA dan lain-lain.

“Manakala jumlah keseluruhan logistik adalah sebanyak 1,456 yang melibatkan logistik darat, air dan udara. Selain itu, semua pegawai daerah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dibekukan cuti untuk menghadapi MTL pada kali ini,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada semua petugas yang terlibat dalam operasi menyelamat dan pemindahan mangsa ke lokasi yang lebih selamat semasa bencana banjir.

Sementara itu, Sekretariat JPBD Sabah melaporkan seramai 5725 mangsa daripada 1939 Ketua Isi Rumah (KIR) dan 73 kampung terjejas banjir setakat jam 12 tengah hari, pada Jumaat.

Sebanyak 10 daerah dan daerah kecil yang terlibat bencana banjir iaitu Beaufort, Kota Marudu, Paitan, Beluran, Kota Belud, Lahad Datu, Tongod, Telupid, Sandakan dan Pitas.

Bermula daripada 29 Januari 2025 sehingga 12.00 tengahari hari ini sebanyak 39 buah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) diaktifkan di seluruh negeri. 

Namun demikian, terdapat beberapa PPS juga dijangka akan ditutup pada hari ini setelah pemeriksaan kawasan dan rumah Penduduk Terjejas Bencana selamat untuk didiami kembali.

— TAMAT