TAWAU: Kerajaan Sabah sentiasa menyokong aktiviti keagamaan yang dianjurkan oleh mana-mana pihak selagi ia masih berlandaskan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata kerajaan negeri akan memberikan sokongan dan dokongan terhadap semua program yang memberi manfaat kepada rakyat.
Katanya, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) memainkan peranan penting bagi memastikan aktiviti keagamaan di negeri ini tidak menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.
“Kita memang memberi sokongan kepada semua aktiviti agama yang dianjurkan oleh sesiapa sahaja, namun asas kita adalah kepada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Ia penting supaya program yang dianjurkan itu tidak menimbulkan sebarang kekeliruan kepada umat Islam khususnya di negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Program Ihya’ Ramadan bersama penceramah, Datuk Ustaz Mohammad Kazim Elias Al-Hafiz, pada Khamis di sini.
Program berkenaan dianjurkan oleh Batalion Ketujuh Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Kubota Tawau bersama Pertubuhan Aspirasi Dakwah & Amal Muslim Sabah (Adam-Care).
Menurutnya, kerajaan negeri mengalu-alukan usaha memperkukuh kefahaman Islam dalam kalangan masyarakat serta mendokong program yang membawa manfaat kepada umat Islam di negeri ini.
“Justeru, saya berharap semua pihak dapat bekerjasama dengan JHEAINS dalam memastikan kesatuan dan keharmonian umat Islam terus terpelihara di Sabah,” katanya.
Nizam menzahirkan rasa syukur kerana program ini berjaya dianjurkan menerusi kerjasama Batalion Ketujuh Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Kubota dan badan bukan kerajaan (NGO).
“Syabas dan tahniah kepada penganjur kerana membawa seorang penceramah tersohor tanah air bagi memberi penerangan mengenai bulan Ramadan yang bakal tiba.
“Saya yakin program seumpama ini dapat memberikan kesedaran dan ilmu pengetahuan kepada semua yang hadir dalam kita menghidupkan suasana bulan Ramadan nanti,” katanya.

Sementara itu, Ustaz Kazim menzahirkan rasa terima kasih kepada kerajaan negeri dan JHEAINS kerana sentiasa menghidupkan suasana agama di Sabah.
Beliau berkata, sambutan rakyat Sabah terhadap program keagamaan sangat menggalakkan serta dihadiri oleh pelbagai kaum dan agama.
“Rakyat Sabah ini unik kerana program-program agama yang saya terlibat turut dihadiri oleh orang bukan Islam, malah ada orang bukan Islam yang menjadi penganjur program.
“Saya sangat kagum dengan rakyat Sabah, mudahan negeri ini sentiasa diberkati dan mendapat naungan Allah,” katanya.
Hamzah Sanudin
Add Comment