KOTA KINABALU: Daerah Pitas, Kota Marudu dan Tongod akan diberi keutamaan dalam membantu mengeluarkan ketiga-tiga daerah berkenaan dari kelompok daerah termiskin di negeri ini.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha itu seperti yang disarankan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor agar Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) membantu daerah terbabit.
Katanya, bantuan yang akan disediakan melibatkan projek-projek desa termasuk pembangunan prasarana dan kemudahan lain.
“Ini adalah satu ‘game changes’ yang baharu oleh kerajaan negeri dan kami di KKDW pastinya akan melaksanakan melalui perbincangan dengan Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan.
“Ia bagi merealisasikan hasrat kerajaan negeri untuk memfokuskan agar tiga daerah ini keluar dari kelompok daerah miskin tegar atau antara daerah yang termiskin di Sabah,” katanya.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata, cadangan untuk mewujudkan estet padi di Sabah turut dibincangkan dalam mesyuarat itu bagi menentukan bekalan makanan utama di Sabah dapat dikeluarkan oleh negeri ini sendiri.
Menurutnya, melalui usaha itu, Sabah boleh mengeluarkan bekalan untuk penggunaan tempatan atau domestik dan pada masa sama untuk keadaan tertentu ia menjadi simpanan bekalan apabila dalam keadaan terdesak.
“Biarlah Ketua Menteri sendiri yang akan jelaskan nanti di mana lokasi dan berapa keluasan kawasan estet berkenaan kerana Felcra Berhad (FELCRA) ada modaliti pelaksanaan estet padi ini sebagaimana yang dilaksanakan di Perak.
“Penduduk kampung akan terlibat sebagai pemegang saham di estet ini dengan memperoleh dividen serta terlibat dalam guna tenaga sebagai pekerja di estet selain disediakan kawasan perumahan oleh FELCRA,” katanya.
Beliau berkata, perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat penyelarasan berkenaan bertujuan mengkoordinasikan pelaksanaan peruntukan kepada kerajaan negeri khususnya yang disalurkan melalui KKDW bagi projek yang bernilai RM50 juta ke bawah.
Menurutnya, penyelarasan itu dijalankan dengan pembentukan jawatankuasa teknikal di antara Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Sabah dengan Ketua Setiausaha KKDW.
— Siti Aisyah Narudin
Add Comment