KOTA KINABALU: Mahkamah Pilihan Raya di sini hari ini menolak petisyen pilihan raya untuk membatalkan keputusan bagi kerusi Parlimen Tenom, pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).


Hakim Mahkamah Tinggi Dean Wayne Daly menolak petisyen pilihan raya yang difailkan oleh Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap, Datuk Peter Anthony.


Calon Bebas yang menang, Riduan Rubin Balang, dinamakan sebagai responden pertama, manakala pegawai pengurus pilihan raya, Pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan SPR masing-masing sebagai responden kedua, ketiga dan keempat.


Mahkamah mengarahkan Peter membayar kos RM20,000 kepada Riduan sebagai responden pertama dan RM20,000 lagi kepada responden kedua, ketiga dan keempat.


Peter didapati tidak mematuhi peraturan 4(1)(b) Peraturan-Peraturan Petisyen Pilihan Raya yang dibaca bersama Seksyen 32(b) Akta Kesalahan Pilihan Raya.


Mahkamah turut memutuskan Peter adalah pesalah yang disabitkan  atas kesalahan jenayah di bawah Perkara 48(1)(e) pada masa penamaan calon PRU15.


Sehubungan itu, beliau hilang kelayakan di bawah Perkara 48(5) Perlembagaan Persekutuan untuk bertanding pada PRU15.
Peter yang diwakili peguam, Datuk Ansari Abdullah dalam hujahnya berkata, Peter memperoleh penangguhan sabitan daripada Mahkamah Sesyen dan Perkara 48(5) tidak akan terpakai ke atasnya.


Bagaimanapun, Tengku Datuk Fuad yang mewakili Riduan berhujah bahawa Perkara 48(5) terpakai serta-merta apabila disabitkan dan seseorang itu kekal hilang kelayakan sehingga dan melainkan sabitan itu dibatalkan atas rayuan.

Sementara itu, Riduan dalam hantaran menerusi akaun Facebook rasminya berkongsi kegembiraan atas keputusan mahkamah itu.


“Mahkamah Pilihan Raya pada hari ini telah memutuskan bahawa petisyen yang difailkan oleh pempetisyen dibatalkan atas alasan bahawa petisyen yang difailkan tidak menurut bentuk yang ditetapkan oleh peraturan-peraturan sedia ada. 


“Saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih terhadap doa dan sokongan yang diberikan daripada semua rakyat di Parlimen Tenom,” katanya. 


Beliau turut memberi jaminan meneruskan mandat dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat untuk membantu dan memajukan Parlimen Tenom selaras dengan prinsipnya ‘Menuju Pembaharuan Demi Kemajuan’.

— EDITOR

Previous articleSyarikat China rancang bina loji jana kuasa hidro di Ranau
Next articleFasa 1 DIIP, tiga Data Hub dilaksana lebih holistik

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here