Home » Kerap tukar kerajaan punca Sabah terus mundur – Masiung
Berita GRS Politik

Kerap tukar kerajaan punca Sabah terus mundur – Masiung

PENGHARGAAN: Masiung (kanan) menerima cemdera kenangan daripada Pegawai Daerah Tongod, Mohd Yuseri Yusof.

TONGOD: Sikap rakyat Sabah yang gemar menukar kerajaan setiap kali pilihan raya dianggap sebagai punca utama kemunduran negeri ini berbanding Sarawak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, pertukaran kerajaan yang terlalu kerap bukan sahaja menjejaskan kestabilan politik, malah turut membantutkan pelaksanaan projek pembangunan yang telah dirancang.

Katanya, keadaan itu berlaku apabila setiap kali kerajaan bertukar, dasar dan perancangan pembangunan turut berubah, menyebabkan projek yang sepatutnya memberi manfaat kepada rakyat gagal diteruskan.

“Bayangkan perancangan yang telah disusun selama lima tahun, tiba-tiba kerajaan negeri bertukar, Ketua Menteri bertukar, pengarah dan pegawai kerajaan turut ditukar.

“Sudah tentu pembangunan yang dirancang menemui kegagalan kerana belum sempat meneruskan kemajuan, kerajaan bertukar lagi. Akhirnya rakyat Sabah terus mundur dan ketinggalan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Majlis Amanat ADUN Kuamut 2025 di Dataran Terbuka Tongod, di sini, kelmarin.

Masiung berkata, sudah tiba masanya rakyat Sabah mencontohi rakyat Sarawak yang lebih mementingkan kestabilan politik sehingga membolehkan pembangunan dirancang dilaksanakan dengan lancar.

“Rakyat Sabah sering membandingkan kemajuan antara Sarawak dan Sabah, namun jika mahu maju seperti Sarawak, kita perlu ikut cara pemikiran mereka yang utamakan kestabilan politik.

“Dulu Sabah lebih maju berbanding Sarawak, tetapi hari ini mereka jauh mendahului kita kerana kerajaan mereka tidak bertukar ganti setiap kali pilihan raya,” katanya.

Menurutnya, dalam tempoh 60 tahun, Sabah sudah menyaksikan 16 Ketua Menteri berbeza berbanding hanya enam di Sarawak, yang hanya bertukar selepas tamat tempoh atau meninggal dunia, namun tetap dikekalkan dalam gabungan politik sama.

Beliau turut menjadikan Projek Lebuhraya Pan Borneo sebagai contoh ketara perbezaan antara dua negeri berkenaan.

“Kerajaan Pusat beri peruntukan serentak kepada Sabah dan Sarawak, tetapi Sarawak sudah siap sepenuhnya, sedangkan Sabah masih jauh ketinggalan kerana projek itu melalui tiga kerajaan dengan polisi berbeza,” katanya.

Katanya, pemimpin dan wakil rakyat tidak akan rugi jika kerajaan bertukar kerana tetap dibayar gaji, sebaliknya yang menanggung kerugian besar ialah rakyat.

“Rakyat Sabah mudah terpengaruh dengan laporan di media sosial yang tidak berdaftar, sedangkan mereka inilah yang akhirnya menanggung akibat apabila pembangunan tidak dapat dilaksanakan.

“Saya rakyat supaya lebih matang dan bijak membuat keputusan demi masa depan negeri dan generasi akan datang,” katanya. 

–Hamzah Sanudin