TONGOD: Cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar Barisan Nasional (BN) turut membentuk kerjasama bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17) disifatkan tidak praktikal dan boleh mengelirukan pengundi.
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah berkata, GRS dan PH Sabah sudah terlebih dahulu menjalin persefahaman politik yang kukuh, sekali gus menjadikan cadangan tiga penjuru itu sukar untuk direalisasikan.
“Tidak mungkin persefahaman itu dapat dicapai kerana ia hanya akan mengelirukan pengundi, apatah lagi GRS dan PH sudah ada kesepakatan untuk meneruskan kerjasama sedia ada.
“Tambahan pula, jika benar cadangan itu diteruskan, kami tetap berpegang kepada kenyataan Perdana Menteri pada 11 Mei lalu di Tawau yang menyebut Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor akan mengetuai rundingan pembahagian kerusi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri semalam yang mahu mengusahakan rundingan bersama ketiga-tiga gabungan GRS, PH dan BN supaya tidak berlaku pertembungan dalam PRN-17 akan datang.
Masiung berkata, secara prinsipnya, Gagasan Rakyat yang menjadi tulang belakang GRS tidak bersetuju dengan idea menjalin kerjasama tiga penjuru yang disifatkannya seperti ‘cinta tiga segi’.
“GRS dan PH Sabah sudah sebati dalam kerjasama mentadbir negeri. Kepercayaan kepada BN dan UMNO pula sudah terhakis sejak berlaku ‘Langkah Kinabalu’ yang jelas mengkhianati persefahaman politik sedia ada,” katanya.
Menurutnya, pemimpin BN dan UMNO juga dilihat terus meniup sentimen permusuhan serta memperlekeh GRS dengan pelbagai taktik politik, justeru mustahil kerjasama itu dapat diwujudkan kembali.
“Dalam masa sama, UMNO dan BN Sabah juga sebelum ini secara terbuka menyatakan tidak akan bekerjasama dengan GRS.
“Oleh itu, kami berharap Perdana Menteri menghormati pendirian ini dan mengotakan janji beliau bahawa Ketua Menteri akan mengetuai rundingan pembahagian kerusi menjelang PRN-17,” katanya.
Masiung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut berkata, tumpuan kini adalah untuk memperkukuh kerjasama GRS dan PH yang terbukti membawa kestabilan dan pembangunan kepada negeri ini.
–Hamzah Sanudin

























Add Comment