Home » Keselamatan asas pembangunan Sabah di bawah SMJ 2.0 : Hajiji
Berita GRS Politik

Keselamatan asas pembangunan Sabah di bawah SMJ 2.0 : Hajiji

KESELAMATAN: Hajiji bersama isteri Datin Seri Panglima Datuk Juliah Salag bergambar bersama penerima sumbangan daripada pasukan keselamatan dan sektor kesihatan.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh aspek keselamatan sebagai asas penting bagi menyokong pertumbuhan ekonomi Sabah di bawah pelan pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0 (SMJ 2.0), di samping memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, potensi Sabah sebagai hab ekonomi biru di rantau ASEAN Timur amat besar, mengambil kira kekayaan biodiversiti laut serta kedudukan strategik negeri itu di laluan perdagangan serantau.

Menurut beliau, dalam kerangka SMJ 2.0, sektor maritim dan ekonomi biru dikenal pasti sebagai antara pemacu pertumbuhan baharu negeri.

SUMBANGAN: Hajiji menyampaikan sumbangan kuih raya kepada Komander ESSCOM Datuk Victor Sanjos.

“Melalui perancangan ini, kerajaan memberi tumpuan kepada pembangunan industri perikanan moden, pengukuhan rantaian nilai makanan laut, pengembangan pelancongan marin serta peningkatan infrastruktur pelabuhan.

“Selain itu, pembangunan bandar pesisir dan kawasan sempadan turut diberi perhatian sebagai hab ekonomi baharu negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan kuih muih Hari Raya Aidilfitri kepada anggota pasukan keselamatan serta petugas kesihatan di Menara Kinabalu, di sini.

Menurutnya, semua potensi tersebut hanya dapat dimanfaatkan sepenuhnya sekiranya keselamatan perairan negeri sentiasa berada pada tahap terjamin.

“Tanpa keselamatan yang stabil, pelaburan dalam sektor maritim, pelancongan laut serta industri makanan laut sukar berkembang dengan baik,” katanya.

Hajiji berkata Sabah mempunyai kedudukan strategik dengan garis pantai melebihi 1,400 kilometer, sekali gus menjadikan negeri ini sebagai barisan hadapan Malaysia di Borneo serta di perairan Laut Sulu.

Dalam konteks keselamatan negara, katanya, kedudukan itu meletakkan Sabah sebagai pintu ekonomi maritim Malaysia di rantau berkenaan.

Beliau berkata kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone) meliputi 10 daerah utama iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Katanya, kawasan berkenaan diperkukuh melalui peranan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) yang menyelaras operasi keselamatan darat, laut dan udara di Pantai Timur Sabah.

“Kewujudan ESSCOM juga menjadi simbol kedaulatan negara di Sabah Timur,” katanya.

Menurut beliau, pengukuhan keselamatan bukan sahaja melindungi rakyat, malah membuka ruang kepada pembangunan bandar sempadan sebagai pintu ekonomi baharu negeri, termasuk aktiviti perdagangan rentas sempadan, logistik, pelabuhan serta industri berasaskan sumber laut.

Selain keselamatan fizikal, Hajiji berkata kesejahteraan negeri turut bergantung kepada tahap keselamatan kesihatan rakyat.

Beliau berkata kerajaan negeri menghargai komitmen petugas kesihatan yang terus berusaha menangani penyakit berjangkit termasuk Tuberkulosis (TB) yang masih menjadi cabaran kesihatan awam di Sabah.

Katanya, usaha pengesanan awal, rawatan berterusan serta program kesedaran kesihatan amat penting bagi melindungi komuniti, khususnya di kawasan luar bandar dan pesisir.

KENANGAN: Hajiji bersama isteri Datin Seri Panglima Datuk Juliah Salag (tengah) bergambar bersama semasa majlis terbabit.

“Golongan barisan hadapan memikul tanggungjawab besar dalam memastikan keselamatan masyarakat terus terpelihara.

“Kerajaan negeri sentiasa menghargai jasa bakti pasukan keselamatan yang berkorban masa, tenaga dan jiwa demi memastikan sempadan negara sentiasa terkawal dan selamat.

“Sumbangan kuih muih Hari Raya yang diserahkan ini menjadi tanda ingatan serta penghargaan kepada mereka,” katanya.

Beliau berharap sumbangan tersebut dapat menceriakan suasana bertugas serta menjadi pembakar semangat kepada pasukan keselamatan dan petugas kesihatan untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi demi menjaga kedaulatan, keselamatan serta kesejahteraan rakyat dan negara.