KOTA KINABALU:Cement Industries Sabah Sdn Bhd (CIS) menyumbang 30 kotak bungkusan kuih raya bernilai RM22,000 kepada pasukan barisan hadapan di Sabah sebagai tanda penghargaan kepada anggota keselamatan dan petugas kesihatan yang akan bertugas sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengerusi CIS, Datuk Japlin Akim, kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Japlin berkata sumbangan berkenaan merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) CIS sebagai menghargai pengorbanan pasukan barisan hadapan yang terus berkhidmat demi keselamatan serta kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, anggota pasukan keselamatan dan petugas kesihatan memainkan peranan penting dalam memastikan perkhidmatan penting negara terus berjalan lancar, termasuk ketika musim perayaan.
“Mereka tetap menjalankan tugas pada musim perayaan demi menjaga keselamatan dan kesejahteraan rakyat, manakala petugas kesihatan pula memastikan perkhidmatan kesihatan sentiasa bersiap siaga setiap masa.
“Jasa dan pengorbanan mereka dalam memastikan keamanan serta kesejahteraan rakyat amat dihargai,” katanya selepas majlis penyerahan sumbangan tersebut.
Beliau berkata CIS berharap sumbangan berkenaan dapat menyemarakkan lagi sambutan Aidilfitri dalam kalangan anggota pasukan keselamatan dan petugas kesihatan yang bertugas, selain menjadi simbol penghargaan atas komitmen mereka kepada negeri dan negara.
Tambahnya, sebagai sebuah syarikat yang komited terhadap pembangunan komuniti, CIS akan terus menyokong pelbagai inisiatif kemasyarakatan melalui pelaksanaan program CSR yang memberi manfaat kepada masyarakat di Sabah.

























Add Comment