Home » Kestabilan dan kemajuan terjamin dibawah GRS: Maijol
Berita GRS Politik

Kestabilan dan kemajuan terjamin dibawah GRS: Maijol

Dr Maijol menyeru rakyat terus menyokong GRS demi kestabilan politik dan pembangunan berterusan di Sabah.

BANDAU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) DUN Bandau, Datuk Dr Maijol Mahap menyeru rakyat agar terus memberi sokongan kepada kerajaan GRS bagi memastikan kestabilan politik dan kesinambungan pembangunan di Sabah dapat diteruskan.

Katanya, di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, kerajaan GRS berjaya membuktikan keupayaan mentadbir negeri melalui pelaksanaan dasar yang berpaksikan rakyat serta pembangunan yang inklusif merentasi kaum dan wilayah.

“Kestabilan politik yang dicapai hari ini tidak datang sendiri. Ia hasil kerjasama semua pihak dalam GRS dan ia telah membuka ruang pelaburan, menjana peluang pekerjaan, serta membolehkan lebih banyak projek pembangunan dilaksanakan,” katanya semasa merasmikan Pesta Kebudayaan Dewa Tuah Peh Kong Peringkat Negeri Sabah 2025 di Kota Marudu, malam Sabtu.

Dr Maijol menegaskan, kerajaan GRS bukan sekadar menabur janji, tetapi telah membuktikan komitmen melalui dasar yang jelas dan tindakan yang nyata.

Dalam ucapannya, beliau turut merakamkan penghargaan kepada komuniti Tionghua atas sumbangan besar terhadap pembangunan sosial dan ekonomi negeri. Beliau menyambut baik usaha kerajaan mengiktiraf Unified Examination Certificate (UEC) serta komitmen melantik wakil komuniti Tionghua sebagai Timbalan Ketua Menteri selepas PRN akan datang.

Menurutnya, pelbagai projek pembangunan sedang digerakkan di Kota Marudu termasuk pembinaan jalan dua lorong sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap rakyat di kawasan Bandau.

“GRS melaksanakan pembangunan berteraskan rakyat dan perpaduan. Jika kestabilan ini dipertahankan dan rakyat terus memberi dukungan, Sabah akan melangkah lebih jauh menuju kemakmuran,” katanya.

Pada majlis itu, Persatuan Tuah Peh Kong menerima sumbangan RM20,000 daripada kerajaan negeri yang disampaikan oleh Dr Maijol sebagai sokongan kepada aktiviti kebajikan dan keagamaan masyarakat setempat.

Turut hadir pada majlis itu ialah Dato’ Chua Khen Siong (Pengerusi Gabungan Persatuan Tuah Peh Kong Sabah), Julita Dalinsi (Pemangku Ketua Bahagian PBS N.6 Bandau), Steven Goh (Pegawai Khas Ahli Parlimen Kota Marudu), Seah Yun Chon (Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Pesta merangkap Pengerusi Pertubuhan Pengurusan Tokong Fok Tak Chu Kota Marudu), Datuk Goh Wak Kheng (Pengerusi Dewan Perniagaan Tiong Hua Kota Marudu), Kong Shien Chong (Pengerusi Gabungan Penganut Agama Tao) dan Ben Wong (Pengerusi DAP Kota Marudu).

Dr Maijol, yang juga Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) N.6 Bandau, dilihat sebagai calon popular untuk mewakili GRS di kerusi tersebut pada PRN nanti, hasil sokongan kuat akar umbi dan komponen gabungan.

— TAMAT