KOTA KINABALU: Seluruh jentera Gabungan Rakyat Sabah (GRS) diseru membawa semangat “Rumah Kita, Kita Jaga” ketika turun padang mendekati rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menegaskan bahawa semangat itu melambangkan tanggungjawab setiap anak Sabah untuk menjaga negeri ini sebagai rumah sendiri.
“Ini bukan sekadar slogan politik. ‘Rumah kita’ membawa makna bahawa Sabah adalah tanggungjawab kita bersama. Jentera GRS mesti turun ke akar umbi dengan tekad memastikan negeri ini kekal stabil, maju dan bersatu di bawah panji GRS,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, empat teras perjuangan GRS — Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United — perlu diterjemahkan dalam setiap pergerakan kempen, dari rumah ke rumah dan dari hati ke hati rakyat.
“Semangat baharu kita ialah Sabah Tanah Airku. Itu bukan sekadar kata-kata, tetapi simbol cinta dan kesetiaan kepada bumi Sabah. Ayuh, kita gerakkan jentera GRS dengan semangat yang sama seperti dahulu. Kita jaga rumah kita, kita jaga Sabah,” ujarnya.
Pada Ahad lalu, Pengerusi GRS yang juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, melancarkan Jentera Pilihan Raya GRS di Kota Kinabalu. Hajiji menyifatkan tahap kesiapsiagaan jentera di setiap bahagian sebagai sangat memberangsangkan dan yakin GRS berada dalam kedudukan terbaik menghadapi PRN17.
Kerjasama strategik antara GRS dan Pakatan Harapan (PH) turut disahkan, dengan PH dilapor berhasrat bertanding di 22 hingga 23 kerusi Dewan Undangan Negeri.
— TAMAT

























Add Comment