KOTA KINABALU – Usaha memperkukuhkan hubungan strategik antara dua negeri Borneo terus diperkasa apabila Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak mengadakan kunjungan hormat ke atas Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Sabah, hari ini.
Kunjungan yang berlangsung di Wisma Wanita, Kota Kinabalu itu diketuai oleh Menteri KPWK Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah.

Turut serta dalam delegasi ialah Timbalan Menteri KPWK, Datuk Rosey Yunus, Datuk Mohammad Razi Sitam, Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS), Salmah Jobeli serta pegawai-pegawai kanan kementerian tersebut.
Rombongan telah disambut mesra oleh Pembantu Menteri KPMKR Sabah merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.44 Tulid, Datuk Flovia Ng.
Pertemuan tersebut menyaksikan perbincangan menyeluruh mengenai potensi kerjasama rentas negeri dalam pelbagai bidang kebajikan, khususnya melibatkan program pemerkasaan wanita, pembangunan institusi keluarga dan kebajikan komuniti.
Fatimah pada masa sama turut merakamkan penghargaan kepada KPMKR atas sambutan hangat dan kesediaan menerima kunjungan tersebut, serta menyantuni delegasi KPWK sejak ketibaan mereka pada hari sebelumnya.
Sementara itu, Flovia dalam ucapannya menegaskan komitmen berterusan KPMKR, khususnya melalui Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA) untuk memperkukuh hubungan strategik bersama KPWK Sarawak.
Beliau menyifatkan hubungan antara Sabah dan Sarawak sebagai “adik-beradik dalam Borneo Malaysia”, melambangkan semangat kekitaan yang tinggi dan kerjasama erat antara dua negeri serumpun.
Lawatan ini turut membuka ruang kepada perkongsian amalan terbaik antara kedua-dua negeri, dengan matlamat memperkasa peranan wanita dan meningkatkan kesejahteraan keluarga di Sabah dan Sarawak.
–Tamat.
Add Comment