Home » KTC santuni 150 kanak-kanak di Parlimen Sandakan, Beluran dan Libaran
Berita Gagasan Rakyat Politik

KTC santuni 150 kanak-kanak di Parlimen Sandakan, Beluran dan Libaran

SUMBANGAN: Dexter ketika membawa kanak-kanak berkenaan berbelanja baju Hari Raya.

SANDAKAN: Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC) dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sabah menyantuni 150 kanak-kanak di Parlimen Sandakan, Beluran dan Libaran.

Pengarah Eksekutif KTC, Datuk Dexter Lau berkata, inisiatif itu adalah dalam rangka pihaknya melaksanakan Jelajah Iftar di daerah ini, yang merupakan lokasi ke-20.

Katanya, kali ini adalah tahun kedua KTC membawa kanak-kanak di tiga Parlimen ini belanja raya membeli pakaian bernilai RM200 setiap seorang.

“Program hari ini dilaksanakan dalam dua sesi iaitu 100 orang kanak-kanak dari kawasan Parlimen Sandakan dan Beluran di bawa belanja pada waktu pagi.

“Manakala, 50 orang lagi kanak-kanak dari kawasan Parlimen Libaran di bawa pada waktu petang,” katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, sebagai sebuah syarikat swasta yang prihatin, pihaknya memainkan peranan dalam membantu mereka yang memerlukan.

“Hal ini kerana, semua yang kita peroleh datang dari masyarakat dan kami tidak membezakan bangsa dalam memberikan sumbangan.

“Golongan yang memerlukan perlu dibantu dan kami percaya bahawa memberi bantuan dengan rasa hormat dan penuh kemanusiaan adalah nilai yang penting,” katanya.

Beliau berkata, adalah penting untuk meningkatkan keyakinan diri dan harga diri kanak-kanak, di mana mereka akan berasa dihargai dan lebih percaya pada diri sendiri.

“Dengan keyakinan tinggi, diharapkan mereka dapat menghadapi cabaran kehidupan, menjadi individu yang berdaya saing apabila dewasa kelak, lalu meninggalkan kitaran kemiskinan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Negara, Senator Anna Bell Perian menzahirkan penghargaan kepada KTC kerana telah menaja pakaian Hari Raya kepada kanak-kanak di kawasan Libaran.

Katanya, melalui inisiatif ini, kanak-kanak dari keluarga yang memerlukan dapat merasai kegembiraan dan kemeriahan Hari Raya.

“Sumbangan daripada syarikat swasta seperti KTC ini sangat penting dalam membantu mengurangkan kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini,” katanya.

Seorang lagi pemimpin tempatan, Datuk Amirshah Yaakub turut mengucapkan terima kasih kepada KTC atas sokongan berterusan mereka terhadap masyarakat di Sandakan.

“KTC harus dijadikan contoh kepada syarikat-syarikat lain untuk turut prihatin terhadap rakyat. Kerajaan yang stabil pada masa kini membolehkan lebih banyak syarikat memberi bantuan kepada golongan memerlukan,” katanya. 

–Hamzah Sanudin

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment