KOTA KINABALU:SABAH Screen Fest (SSF) 2024, festival filem tempatan yang dinanti-nantikan, menutup tirainya pada malam anugerah yang penuh gilang-gemilang di Shangri-La Tanjung Aru Resort, Kota Kinabalu, baru-baru ini.
Mengangkat tema ‘Step Out and Innovate’, SSF2024 menjadi medan bagi peminat dan penggiat seni Sabah meneroka pendekatan berani dan kreatif dalam pembikinan filem, serta mempamerkan idea dan tema asal menerusi karya mereka.
Dianjurkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan Pusat Kreatif Ekonomi dan Iniovasi Sabah (Scenic), festival filem ini menghimpunkan bakat-bakat kreatif dari seluruh Sabah untuk meraikan seni penceritaan, animasi, dan pembikinan filem.
Malam Anugerah yang dirasmikan oleh Menteri KSTI Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif itu menobatkan karya terbaik daripada 247 penyertaan keseluruhan dan menjadi kemuncak edisi kali ini yang berlangsung selama tiga hari baru-baru ini.
SSF2024 menyaksikan peserta merebut hadiah untuk dua kategori utama, iaitu Terbuka dan Sekolah, masing-masing.Kategori Terbuka termasuk kategori kecil untuk Filem Pendek, Animasi, Dokumentari dan Iklan yang hadir dengan hadiah tunai dari RM2,000 hingga RM5,000 untuk penyertaan terbaik.
Untuk kategori Sekolah, peserta boleh menghantar Filem Pendek dan Animasi, dengan hadiah kemenangan RM1,000 hingga RM3,000 untuk penyertaan sekolah rendah dan RM1,500-RM3,500 untuk pelajar sekolah menengah.
Turut menjadi rebutan, anugerah untuk penyertaan cemerlang dalam sinematografi, grafik dan visual, yang hadir dengan hadiah wang tunai RM1,000, masing-masing.Setiausaha Tetap KSTI Datuk Mohd Hanafiah Mohd Kassim berkata jumlah penyertaan yang diterima untuk SSF2024 melebihi jangkaan penganjur.
“Kami menjangkakan jumlah penyertaan yang baik berdasarkan maklum balas dari edisi terdahulu, tetapi tahun ini menyaksikan sebanyak 247 penyertaan diterima, berbanding 188 pada tahun lalu.
“Menyenaraipendek finalis bagi setiap kategori adalah tugas yang sangat mencabar bagi panel juri kami kerana banyak penyertaan menunjukkan kualiti produksi yang baik dan penceritaan yang hebat,” katanya.
Kategori Terbuka menyaksikan karya George Yong berjudul Crossroads dinobatkan sebagai pemenang dan disusuli oleh Block (Aidyl HR) dan Inovasi, Bantulah Kami! (Datu Mohammad Rashidi) di tempat kedua dan ketiga, masing-masing.
Animasi Terbaik pula dimenangi oleh Tenaga Boleh Baharu oleh Muhammad Haziq Mohd Arsad, dengan tempat kedua dan ketiga menjadi milik Technology: The Essence of Evolution (Renny Felendra Jamari) dan Terima Kasih Idolaku (Rajena Sulutan), masing-masing.
Sementara itu, Inovasi Si Cikgu oleh Ismail Lapagang menerima hadiah Dokumentari Terbaik manakala Innovate, Integrate, Impact: Einstronic’s Tech Journey oleh Ricardo Unto dan Scrap to Art: Inovasi Kraf Logam oleh SB Production mendapat tempat kedua dan ketiga, masing-masing.
Iklan Terbaik pula jatuh kepada karya berjudul Menumbuhkan Kehidupan, Setitis Demi Setitis oleh SB Production, dengan 30-Saat Tentang Inovasi (Datu Mohammad Rashidi) dan Start Small, Step Out & Innovate (Nur Hasanah Sabri) di tempat kedua dan ketiga, masing-masing.
Bagi Kategori Sekolah, pemenang Sekolah Rendah termasuk The Kipas oleh SK Sungai Tongkang, Tawau, untuk Filem Pendek Terbaik dan Kisah Ah Boi oleh SK(C) Anglo Chinese, Kota Kinabalu, untuk Animasi Terbaik.
Juara Sekolah Menengah adalah Sangkir oleh SM Lok Yuk, Kota Kinabalu (CF) untuk Filem Pendek Terbaik dan Dunia Baharu Lilie oleh SMK St. Mary Limbahau, Papar, untuk Animasi Terbaik.
Anugerah Khas untuk Sinematografi Terbaik dimenangi oleh Ini Cerita Saya, Ini Cerita Kami oleh SK Pendidikan Khas Kota Kinabalu dan Sangkir oleh SM Lok Yuk, manakala Grafik dan Visual Terbaik, masing-masing, jatuh kepada Kisah Ah Boi dan Dunia Baharu Lilie.
Selain malam anugerah, SSF2024 turut diisi dengan siri bengkel dan ceramah mengenai pembikinan filem.Ketua Bahagian Kreatif Scenic, Eva Chris Anthony berkata siri bengkel dan ceramah profesional ini menampilkan veteran berpengalaman dalam industri yang berkongsi pengetahuan serta kemahiran mereka untuk memberi inspirasi kepada anak-anak muda Sabah yang berminat dalam seni kreatif dan media, serta melahirkan generasi baharu profesional industri filem.
“Bengkel pada festival ini khususnya mensasarkan penglibatan pelajar sekolah, dengan memberikan mereka pencerahan dan peluang mengenai industri kreatif.
“Dengan mendedahkan peserta kami kepada cara kerja industri filem dan animasi, mereka berpeluang belajar secara langsung daripada profesional industri dan membuka minda mereka kepada laluan kerjaya masa depan,” katanya.
Scenic adalah inisiatif Kerajaan Negeri yang diluluskan oleh Kabinet Sabah pada Ogos 2019 yang bernaung di bawah KSTI. Ia bertujuan untuk memacu industri-industri di Sabah melalui teknologi, inovasi dan penyelesaian kreatif, dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam ekosistem.
Sejak mula beroperasi pada 2020, Scenic telah melaksanakan 287 program pembangunan kapasiti dan ekosistem melalui tiga tonggak utamanya iaitu industri kreatif, teknologi dan inovasi serta keusahawan berasaskan inovasi.
Sepanjang tempoh ini, Scenic juga berjaya menghubungkan 150 perusahaan sosial dan ‘startup’ Sabah kepada dana bernilai RM5.42 juta.
Pada Januari 2023, Scenic menerima Anugerah Merit sebagai ‘Agensi Awam Paling Berkesan Memacu Penggunaan Digital’ yang dianugerahkan oleh portal berita terkemuka Malaysiakini, dan disokong oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) di peringkat persekutuan.
— Kazalinah Kamaludin
Add Comment