TAWAU: Keanggotaan lebih 10,000 ahli membuktikan sokongan rakyat terhadap Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) di bahagian Apas semakin kuat dan meningkat.
Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Bahagian Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, walaupun baru kira-kira tujuh bulan dilancarkan, sambutan terhadap parti ini sangat menggalakkan daripada rakyat.
Katanya, penubuhan sebanyak 170 cawangan di bahagian Apas juga menunjukkan bahawa rakyat di sini ingin bersama-sama dalam perjuangan membela rakyat di Sabah.
“Saya ingin memastikan semua ahli dan pemimpin akar umbi di bahagian Apas ini dapat memperkemaskan jentera cawangan masing-masing dari semasa ke semasa.
“Kita juga mahukan mereka ini dapat menangkis semua tomahan dan fitnah yang selalu dimainkan oleh pihak pembangkang ketika ini dari semua sudut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rayat Bahagian Apas yang dihadiri lebih 800 orang perwakilan, di sini hari ini.
Nizam yang juga Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Sabah berharap semua perwakilan dapat menjaga perpaduan dalam kalangan mereka dan memastikan parti ini terus relevan di Sabah.
Menurutnya, pemimpin akar umbi juga diminta menjadi mata dan telinga kerajaan negeri dan memastikan segala isu berbangkit di kawasan masing-masing dapat disampaikan kepada pihak atasan.
“Kita mahukan masalah rakyat di bawah dapat diselesaikan secara baik dan diambil tindakan dengan kadar segera.
“Melalui tindakan yang betul dan ikhlas membantu rakyat akar umbi, saya yakin Gagasan Rakyat akan terus menjadi pilihan utama oleh semua penduduk di sini,” katanya.
Mengulas mengenai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), Nizam berkata pihaknya sudah bersedia lebih awal walaupun jangkaannya masih berbaki dua tahun lagi.
“Saya sudah mengarahkan pemimpin akar umbi untuk memastikan jentera parti dalam keadaan bersiap siaga dengan sebarang kemungkinan.
“Jentera kita juga sudah diberi latihan, taklimat, mengadakan program rumah ke rumah dan menyampaikan bantuan kerajaan bagi memberi keyakinan rakyat terhadap parti ini,” katanya.
Turut hadir, Ahli Parlimen Tawau, Lo Su Fui dan semua pemimpin parti komponen GRS Bahagian Apas.
— Hamzah Sanudin
Add Comment